Pilih Bahasa

Polis Tuaran tahan dua lelaki kerana mengedar dadah syabu

Oleh Junaidi Ladjana

Mohd Hamizi menunjukkan peket plastik berisi dadah jenis syabu yang dirampas susulan penahanan dua lelaki disyaki pengedar dadah di Tuaran. – Gambar SNT/Ihsan Junaidi Ladjana

TUARAN: Polis menahan dua lelaki disyaki pengedar dadah serta merampas dadah jenis syabu bernilai RM22,630 dalam dua serbuan berasingan di daerah ini baru-baru ini.

Kedua-dua suspek berusia 19 dan 22 tahun ditahan di kawasan Taman Perumahan Telipok Ria dan tepi jalan Kampung Baru-Baru pada 9 dan 10 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata suspek pertama warga asing ditahan dan merampas dadah jenis syabu seberat 50.10 gram bernilai RM7,515.

“Hasil penahanan suspek kedua warga tempatan merampas dadah jenis syabu dengan berat  100.77g bernilai RM15,115.50.

“Siasatan mendapati kedua-dua suspek ini mengedar dadah dipercayai di kawasan Tuaran dan Kota Belud,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis (IPD) Tuaran di sini, hari ini.

Menurutnya, siasatan juga mendapati sumber dadah syabu ini diperoleh daripada penempatan Telipok dan kawasan Mangatal.

“Dadah diperoleh daripada kawasan lain dan dihantar kepada pembeli. Mereka ini akan bergerak secara sendiri dengan menggunakan kenderaan atau berjalan kaki.

“Rampasan dadah jenis syabu ini dipercayai mampu menampung seramai hampir 750 penagih di kawasan daerah ini,” katanya.

Tambah beliau lagi, kedua-dua suspek ditahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan. – SabahNewsToday