Pilih Bahasa

Polis tumpaskan sindiket penipuan kad data warga asing di Sabah

Oleh Junaidi Ladjana

Zaini (dua dari kanan) menunjukan kad data pekerja warga asing yang dirampas susulan serbuan di sebuah premis di Sandakan. – Gambar SNT/Junaidi Ladjana

KOTA KINABALU: Polis Sabah menumpaskan sindiket penipuan kad data warga asing selepas menahan enam individu termasuk pengarah syarikat dalam serbuan di sebuah premis di MidTown Plaza, Batu 3 1/2 Jalan Utara, Sandakan.

Serbuan pukul 4.20 petang pada 22 November lalu oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan turut merampas 1,301 keping kad data dokumentasi pekerja asing dianggarkan bernilai kira-kira RM1 juta.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass berkata bertindak atas maklumat berkenaan cubaan penipuan pengumpulan dokumentasi data pekerja di Sabah oleh sebuah syarikat, polis menjalankan serbuan di premis berkenaan.

Antara dokumen yang turut dirampa berikutan serbuan di sebuah premis di Sandakan. – Gambar SNT/Junaidi Ladjana

“Hasil serbuan itu, menahan empat lelaki dan dua wanita termasuk pengarah dan pekerja syarikat berkenaan yang sedang menjalankan kerja-kerja pendaftaran.

“Pemeriksaan lanjut di premis berkenaan merampas dokumen yang disyaki digunakan dalam proses penyediaan kad data dokumentasi pekerja asing Sabah.

“Antaranya 58 keping kad dokumentasi pekerja asing Sabah dan 1,224 keping kad maklumat warga asing. Kad ini dijual dengan harga RM800 sekeping dan setakat ini sebanyak 300 warga asing sudah mendaftar yang membabitkan nilai RM240,000,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sabah, Datuk Jauteh Dikun.

Zaini berkata, selain daripada kad yang dirampas, pihaknya turut menemukan beberapa barangan lain seperti pelbagai borang permohonan, resit buku dan empat set komputer dipercayai digunakan oleh suspek terbabit.

Kad data pekerja warga asing yang dirampas dalam serbuan di sebuah premis di Sandakan. – Gambar SNT/Junaidi Ladjana

“Siasatan mendapati syarikat ini  beroperasi di Sandakan sejak Mei 2019 dan menjalankan proses pengurusan membuat kad pekerja bagi warga asing.

“Kumpulan sindiket ini juga dikesan melakukan tiga kesalahan menipu sebelum ini dan pernah didakwa di mahkamah.

“Siasatan masih diteruskan dan semua suspek berusia 21 hingga 66 tahun direman selama empat hari mengikut Seksyen 402 /511 Kanun Seksaan atas kesalahan cubaan menipu,” katanya.

Zaini dalam pada itu meminta mana-mana mangsa yang terbabit dalam kes penipuan berkenaan untuk tampil segera bagi membantu siasatan polis. – SabahNewsToday