Pilih Bahasa

POLIS TUMPASKAN SINDIKET PENYELUDUPAN TENGGILING BERNILAI RM8.4 JUTA

Oleh Mohd Adam Arinin

Omar Mammah (dua dari kanan) bersama Augustine Tuuga (tiga dari kiri) ketika meninjau lokasi tiga kontena yang berisi daging tenggiling sejuk beku yang dimuatkan dalam salah sebuah daripada tiga kontena di sebuah gudang penyimpanan di Kampung Bontai, Tamparuli. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

TUARAN: Sindiket penyeludupan tenggiling membabitkan rampasan bernilai RM8.4 juta berjaya ditumpaskan oleh pihak polis dengan kerjasama Jabatan Hidupan Liar Sabah (JHLS) dalam dua serbuan di daerah ini dan Sepanggar, kelmarin. 

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah berkata serbuan pertama dilakukan di sebuah kilang di kawasan perindustrian di Jalan Sepanggar, Kota Kinabalu kira-kira pukul 8.45 malam.

Omar Mammah (kiri) memeriksa kontena yang mengandungi kotak berisi daging tenggiling di sebuah kilang di Kampung Bontai Tamparuli. – Gambar SNT / Mohd Adam Arinin.

“Pihak kita mendapat maklumat berkaitan kegiatan penyeludupan dan pemprosesan daging serta kulit tenggiling secara haram. 

“Ketika serbuan pertama dibuat, kita telah menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 35 tahun yang dipercayai sebagai pekerja kilang. Pemeriksaan lanjut di kilang terbabit menemukan daging tenggiling yang siap diproses dan dibekukan dalam peti sejuk beku,” katanya pada sidang media di Tamparuli di sini hari ini.

Hadir sama Pengarah JHLS, Augustine Tuuga; Ketua Polis Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji dan Ketua Polis Tuaran, Deputi Superitendan Dzulbaharin Ismail.

Omar Mammah (kiri) menunjukkan kotak yang berisi daging tenggiling sejuk beku yang dimuatkan dalam salah sebuah daripada tiga kontena di sebuah gudang penyimpanan di Kampung Bontai, Tamparuli. -Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Menurut Omar, beberapa ekor tenggiling hidup turut ditemui selain 10 guni yang berisi kulit haiwan berkenaan. 

“Hasil soal siasat yang dilakukan terhadap suspek yang ditahan itu, pihak polis melakukan sebuah lagi serbuan berdasarkan maklumat dan pandu arah suspek yang ditahan.

Muatan penuh kontena yang mengandungi kotak berisi daging tenggiling sejuk beku di sebuah gudang penyimpanan di Kampung Bontai, Tamparuli. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Dan sekitar jam 10.20 malam hari yang sama, pihak polis telah menyerbu sebuah lagi gudang penyimpanan di Kampung Bontai di sini (Tamparuli),” tambahnya. 

Jelas Omar, pihak berkuasa menemukan tiga kontena yang diisi penuh dengan kotak berisi daging tenggiling.

Tiga buah kontena yang berisi penuh kotak mengandungi daging tenggiling sejuk beku di sebuah gudang penyimpanan di Kampung Bontai, Tamparuli. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Sebanyak 1,860 kota berisi daging tenggiling beku ditemukan. Setiap kotak seberat 15 kilogram dan dianggarkan bernilai RM300. 

“Selain daripada haiwan berkenaan, pihak polis juga menemukan dua kaki beruang dan empat bangkai disyaki keluang bakau yang dibekukan.” katanya. 

Kesemua tangkapan dan ramapasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran untuk tindakan lanjut Jabatan Hidupan Liar Sabah. 

Tambah Omar juga,pihak polis percayai kegiatan ini telah beroperasi sejak tujuh tahun lalu.  

“Kesemua rampasan ini dibeli oleh suspek daripada pemburu haram tempatan dan dipercayai diperoleh dari seluruh negeri ini sebelum dihantar ke kilang untuk diproses dan dibungkuskan.

“Siasatan polis masih dijalankan untuk mengesan individu lain yang terbabit dalam sindiket ini termasuk pemburu haram. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Enekmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997,” katanya. 

Sementara itu, Pengarah JHL Sabah Augustine Tuuga berkata pihaknya masih belum melakukan penyelidikan secara menyeluruh mengenai populasi tenggiling di semua daerah di Sabah.

“Hanya kajian dan penyelidikan di daerah Kinabatangan sahaja dibuat ketika ini berikutan kadar populasi haiwan ini rendah akibat daripada menjadi tumpuan lokasi pemburu haram,” katanya. – SabahNewsToday