Pilih Bahasa

POLITEKNIK KK LEPASI SASARAN KEBOLEHPASARAN YANG DITETAPKAN OLEH KPM

Oleh Alfred Petrus

Zainab (kiri) menyampaikan cenderakenangan kepada Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Sabah Kamal Pardi yang juga sebagai perasmi majlis penutupan MSK berkenaan. Gambar SNT/Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Politeknik Kota Kinabalu (PKK) berjaya melepasi sasaran kebolehpasaran graduan yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tahun ini.

Pengarah PKK Zainab Othman berkata PKK mencapai sehingga 95 peratus daripada 90 peratus sasaran yang ditetapkan oleh KPM bagi graduan memperolehi pekerjaan yang sesuai dengan kelayakan selepas tempoh enam bulan tamat pengajian.

“Saya yakin momentum ini akan terus meningkat pada masa akan datang dan seterusnya usaha mencapai visi PKK untuk menjadi institusi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) yang unggul di peringkat kebangsaan dan antarabangsa menjelang 2020 mampu menjadi realiti.

Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Sabah Kamal Pardi (tiga kiri) memalu gong sebanyak tiga kali sebagai gimik perasmian penutupan program MSK PKK sambil disaksikan oleh Zainab (dua kanan). Gambar SNT/Alfred Petrus

“Selaras dengan visi PKK ini, banyak langkah dan inisiatif yang telah diambil bagi merialisasikannya.

“Kesemua program yang ditawarkan di PKK telah menerima akreditasi penuh dari Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan membuktikan kualiti proses pengajaran dan pembelajaran akan sentiasa dipantau bagi memastikan ianya menepati tahap yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Perasmian Penutupan Minggu Suai Kenal (MSK) Pelajar Baru Sesi Disember 2018 di sini hari ini.

Dalam pada itu, jelasnya melalui kejayaan tersebut juga mampu melahirkan graduan yang berdaya saing dan memenuhi keperluan industri masa kini.

Katanya bagi mencapai standard berkenaan, para pensyarah PKK juga sentiasa digalakkan untuk mempertingkatkan kemahiran diri bagi memastikan kualiti pembelajaran dan kemahiran berada di tahap yang tinggi.

“PKK juga menggalakkan dan menghantar para pensyarah untuk menjalani latihan di industri sekurang-kurangnya dua hingga tiga bulan bagi memastikan mereka menguasai bidang masing-masing.

“Selain itu, mereka mampu mendapatkan maklumat berkenaan kehendak industri masa kini seterusnya dikongsikan kepada para pelajar PKK,” jelasnya.

Sementara itu, pada MSK berkenaan, Zainab berkata seramai 608 pelajar baru yang berjaya melanjutkan pengajian ke institusi berkenaan.

Daripada jumlah berkenaan, jelasnya program Diploma kejuruteraan Awam dan Diploma Pemasaran terus menjadi pilihan utama dan mencatat pendaftaran melebihi bilangan norma bagi sesi Disember.

“Bilangan pelajar baru secara keseluruhan dijangka akan meningkat lagi kerana kita masih melaksanakan permohonan secara ‘walk-in’ sehingga 14 Disember.

“Sekiranya terdapat saudara mara atau sahabat yang berminat mahupun tercicir daripada melanjutkan pengajian di dalam bidang kemahiran atau perniagaan, boleh maklumkan mereka berkenaan permohonan secara ‘walk-in’ ini,” katanya. -SabahNewsToday