Pilih Bahasa

Portal baharu LIGS bantu pekebun kecil perolehi maklumat

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Pekebun Kecil Negeri Sabah (PKNS) perlu memanfaatkan pengenalan portal baharu Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) untuk kegunaan mereka terutama dalam mendapatkan maklumat berkaitan harga getah semasa.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Junz Wong berkata melalui portal baharu itu pekebun kecil getah boleh memeriksa dan mengemaskini maklumat peribadi mereka dalam sistem PKNS tanpa perlu mengisi sebarang borang.

Junz (tengah) melancarkan portal baharu Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) sempena pelancaran Jubli Platinum LIGS di Kota Kinabalu. – Gambar SNT/Ihsan KPIM

Menurut beliau para pekebun kecil juga boleh mencetak penyata penjualan getah mereka sama ada penyata harian atau bulanan.

Laman rasmi LIGS ialah http://www.ligs.gov.my/index_web/UK/.

“Melalui penyata penjualan ini, para pekebun kecil getah akan mengetahui harga getah sebenar iaitu RM2.80/kg bagi kentalan gred dua di samping memperincikan jumlah keseluruhan harga termasuk bantuan kerajaan negeri iaitu RM0.30/kg.

“Selain itu mereka juga boleh mendapatkan maklumat mengenai bayaran Insentif Pengeluaran Getah (IPG) mengikut kadar semasa,” katanya ketika berucap sempena pelancaran Jubli Platinum Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) di sini, hari ini.

Hadir sama ialah Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Dr Daud Yusof; Pengerusi LIGS, Datuk John Ghani; Setiausaha Tetap Kementerian, Dr Mariana Tinggal; Pengurus Besar LIGS, Sabdil Tanjong, ahli-ahli lembaga pengarah dan ketua jabatan dan agensi di bawah kementerian itu dan LIGS.

Mengenai sambutan Jubli Platinum LIGS itu, Junz gembira dengan komitmen perkhidmatan terbaik diberikan kepada semua pekebun kecil di negeri ini.

Dalam pada itu beliau juga mahu pengurusan dan kakitangan LIGS untuk terus berusaha meningkatkan lagi kualiti dan keberkesanan perkhidmatan kepada kumpulan sasar.

“LIGS juga perlu memikirkan kaedah-kaedah lain yang boleh membantu para pekebun kecil getah terutama pada waktu harga getah rendah pada masa ini.

“Saya sedia maklum bahawa LIGS sedang melaksanakan projek-projek Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET) seperti ternakan kelulut, tanaman halia, lada hitam dan buah-buahan.

“Saya mencadangkan agar bidang ini dikembangkan kepada bidang usaha yang lebih bersifat mampan seperti tananam nenas dan pembinaan rumah burung walit,” katanya.

Beliau juga meminta agar LIGS memastikan semua projek yang diluluskan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 dapat disiapkan dengan sempurna. – SabahNewsToday