Pilih Bahasa

Pos kawalan baharu diwujudkan perkasa tahap keselamatan di pantai timur Sabah

KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan telah dan sedang melakukan beberapa tindakan bagi meningkatkan tahap keselamatan di Sabah, kata Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Kerajaan melalui pihak penguatkuasa termasuk Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESScom) sentiasa berusaha untuk meningkatkan keselamatan terutama sepanjang pantai timur Sabah, kata beliau.

“Tindakan ini dilakukan bukan sahaja bertujuan untuk mencegah kejadian penculikan daripada berulang, malahan untuk mencegah kehadiran Foreign Terrorist Fighter (pejuang penganas asing), penyeludupan barangan asas dan kemasukan nelayan asing, kata Muhyiddin

Antara usaha terkini ialah mewujudkan beberapa pos-pos kawalan yang baharu bagi memperkasakan lagi tahap keselamatan di sepanjang perairan pantai timur, jelas beliau dalam jawapan bertulis kepada soalan daripada Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau di Parlimen pada Isnin.

Muhyiddin berkata pihak berkuasa juga telah mewajibkan pemasangan Automated Identification System (AIS) pada kapal-kapal nelayan; mengekalkan Perintah Berkurung di Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah  (ESSzone) yang mencakupi keluasan 224,592km persegi dan dikuatkuasakan sejak 17 Julai 2014.

Kerajaan juga telah mengarahkan pengharaman ‘pump boat’ dalam kalangan pendatang tanpa izin manakala pump boat milik rakyat tempatan akan didaftar dan dilesenkan oleh pihak Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah.

Muhyiddin berkata, Kementerian sedang mengkaji penstrukturan semula ESSCOM bagi meningkatkan lagi keberkesanan penguatkuasaan.

Madius dalam soalannya telah meminta Kementerian Dalam Negeri menyatakan apakah langkah Kerajaan bagi memastikan agar kes-kes penculikan di Sabah tidak berlaku lagi.-SabahNewsToday