Pilih Bahasa

Potensi penerokaan bidang farmaseutikal dan bioteknologi di ICSC Kanyon Imbak

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Jamalul Kiram Mohd Zakaria. – Gambar SNT/Ihsan Kumpulan Yayasan Sabah

KOTA KINABALU: Kumpulan Yayasan Sabah menjangkakan potensi penerokaan farmaseutikal dan bioteknologi di Pusat Pembelajaran Kanyon Imbak (Imbak Canyon Studies Centre – ICSC).

Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Jamalul Kiram Mohd. Zakaria menjelaskan bahawa penyelidikan mengenai sifat antimikrob dan antioksidan tumbuhan ubatan yang terdapat di ICCA telah dijalankan oleh para penyelidik dari Universiti Monash Malaysia pada 2017.

Jamalul menambah lawatan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal esok (26 Mac) juga akan mempromosikan ICCA sebagai destinasi ekopelancongan.

Menurut Jamalul perasmian itu merupakan saluran yang baik untuk mempromosikan usaha Kumpulan Yayasan Sabah dan Petronas terutama berkaitan dengan perlindungan hutan hujan tropika dan biodiversitinya.

“Kumpulan Yayasan Sabah komited dalam mewujudkan ICSC sebagai tarikan eko pelancongan di daerah Tongod. Kami menawarkan kemudahan yang terdiri daripada pelbagai jenis penginapan (asrama, rumah rehat, lodge dan chalet) di samping denai hutan, pendidikan alam sekitar serta galeri alam semula jadi yang tersedia untuk tujuan ini.

“Dengan adanya infrastruktur dan kemudahan tersebut, ICCA kini dapat menampung sehingga 202 pengunjung dan 118 penyelidik/pembantu penyelidik dalam satu-satu masa tertentu. Jaraknya yang dekat dengan Tongod, Telupid, dan Pinangah membolehkan ia berfungsi sebagai pintu masuk ke Ulu Kinabatangan,” tambahnya.

Pusat itu yang dibina hasil dari kerjasama antara Kumpulan Yayasan Sabah dan Petronas terletak di kawasan seluas 27 hektar di pinggir ICCA dan menyediakan kemudahan untuk penyelidikan, pendidikan, latihan dan rekreasi alam semula jadi.

Jamalul berkata infrastruktur ini dapat memenuhi keperluan pelbagai golongan pelawat di samping kumpulan pendidikan dan penyelidik/saintis.

Katanya kemudahan lain termasuklah kompleks pejabat, kompleks pendidikan alam sekitar, makmal saintifik, dewan persidangan, kompleks sukan, kafeteria, galeri alam semula jadi dan surau.

“Pusat ini merupakan komponen utama Pelan Pengurusan Strategik ICCA (2014-2023) dalam memastikan pengurusan mapan ICCA. Pelan pengurusan tersebut menyediakan rangka kerja bagi aktiviti yang akan dilaksanakan di ICCA dalam jangka masa sepuluh tahun, yang mana akan menangani isu berkaitan dengan konservasi di kawasan tersebut.

“Selain daripada kunjungan Datuk Seri Mohd Shafie ke ICCA, saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan penghargaan kepada kerajaan negeri Sabah kerana memberikan kepercayaan dan keyakinan kepada Kumpulan Yayasan Sabah untuk terus mengurus kawasan-kawasan konservasi Lembah Danum, Lembangan Maliau, Kanyon Imbak, Pesisiran Pantai Silam dan Sungai Taliwas untuk generasi akan datang,” katanya.

Jamalul turut mengalu-alukan langkah menambah dana sebanyak RM77 juta oleh syarikat minyak dan gas nasional iaitu Petronas, sebagai  fasa kedua kerjasama Kawasan Konservasi Kanyon Imbak.

Kerjasama yang bermula pada 2010 telah melaksanakan beberapa program, termasuk pendidikan alam sekitar, kesedaran awam, jalinan komuniti, survei dan dokumentasi etno-perhutanan, penyelidikan, pengukuhan keupayaan staf, formulasi Pelan Pengurusan Strategik ICCA dan pembinaan ICSC.

“Pada masa hadapan dijangka bilangan penyelidik akan meningkat berkali ganda dengan kekuatan sedia ada. Sumbangan Petronas secara keseluruhan adalah berjumlah RM83 juta dengan mengambil kira pembiayaan untuk fasa pertama berjumlah RM6 juta.

Di samping itu, Jamalul menegaskan bahawa Kumpulan Yayasan Sabah akan berusaha untuk membangunkan kapasiti teknikal dan pentadbiran stafnya bagi menyokong aktiviti pengurusan teras yang diperlukan dalam meletakkan Kanyon Imbak sebagai pusat pembelajaran masyarakat setempat dalam pemuliharaan biodiversiti dan penggunaan sumber semula jadi yang mapan.

“Saya juga merakamkan penghargaan kepada Akademi Sains Malaysia (ASM) yang menerajui Program Latihan dan Penyelidikan Hutan Hujan Kanyon Imbak, (Imbak Canyon Rainforest Research and Training Programme – ICRRTP).

“Pada 2016, Memorandum Persefahaman (MoU) telah ditandatangani antara Jawatankuasa Pengurusan Kanyon Imbak, (Imbak Canyon Management Committee – ICMC) dan ASM yang bertujuan menggalakkan aktiviti penyelidikan di ICCA.

“Fokus ICRRTP adalah untuk meningkatkan keupayaan dan kapasiti masyarakat tempatan dalam kajian fizikal, ekologi landskap dan biodiversiti hutan hujan demi menangani masalah kekurangan sumber manusia dalam bidang taksonomi dan sistematik biologi, geologi, hidrologi, ekologi dan biologi serta untuk meningkatkan kapasiti dan pengetahuan kita mengenai sains sosial,” jelas beliau.

Mengenai penubuhan Persatuan Porter dan Malim Kanyon Imbak Daerah Tongod, sebagai sebahagian daripada program Jalinan Komuniti di bawah kerjasama Kumpulan Yayasan Sabah-Petronas, Jamalul berkata pihaknya berhasrat untuk menyediakan peluang dan membangunkan kapasiti belia kampung di sekitar ICCA bagi menyediakan perkhidmatan porter dan malim kepada pelawat yang datang ke ICCA. 

Persatuan Porter dan Malin Kanyon Imbak Daerah Tongod didaftarkan dengan Pendaftar Syarikat Malaysia pada 2 Mac 2017 dan pada masa ini, persatuan itu mempunyai seramai 33 ahli dan dijangkakan jumlah itu akan bertambah.

“Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Perhutanan Sabah, Jabatan Hidupan Liar Sabah, ASM dan Institut Penyelidikan Primat Universiti Kyoto, Jepun dalam mempromosikan penyelidikan, latihan, dan pendidikan di peringkat awal ICCA.

“Kerjasama ini membantu dalam mengenali hutan hujan kita dan pada masa yang sama membina kapasiti saintis dan penyelidik dengan membangunkan kerjasama jangka panjang yang memberi tumpuan kepada pelbagai aspek, termasuk pengurusan kawasan yang dilindungi dan potensi farmaseutikal.

“Sepertimana yang telah dilaksanakan di Lembah Danum dengan sokongan rakan-rakan strategik seperti The Royal Society of the UK, saya mengharapkan kerjasama yang sama di ICCA,” jelasnya. – SabahNewsToday