Pilih Bahasa

PPBM TIDAK PERLU KEMBANGKAN SAYAP KE SABAH

Oleh Chris Maskilone

KOTA KINABALU: Tidak ada keperluan bagi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) untuk mengembangkan sayap ke Sabah memandangkan kerajaan negeri pimpinan Warisan mampu membawa negeri ini ketahap yang lebih baik.

Musthapa Abik berkata demikian membidas kenyataan Pengerusi Persatuan Kebajikan Islam dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) Sabah, Datu Akjan Khan yang dilaporkan pada 11 Jan mewakili seluruh ahli Pekida dan masyarakat Suluk di Sabah yang kononnya mahukan PPBM bertapak di negeri ini.

“Pada hemat saya dan rakan rakan lain tidak ada keperluan PPBM masuk Sabah sebab kita semua sedia makum sebelum PRU14, sudah ada persefahaman antara Bersatu dengan parti Warisan Sabah untuk menumbangkan BN, seterusnya memerintah negeri Sabah,” kata Musthapa, seorang ahli Pekida Sabah sejak 12 tahun lalu.

Musthapa Abik. Gambar Fail SNT

Menurutnya, Sabah telah ditadbirurus dengan cukup baik di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal selaku Presiden Warisan bersama gabungan parti-parti lain seperti PKR, Upko dan DAP.

Katanya, melihat kepada keakraban antara Perdana Menteri dan Ketua Menteri Sabah “cukuplah kita bernaung di bawah pemerintahan sekarang yang diterajui oleh Warisan yang terdiri dari pelbagai kaum dan etnik pribumi untuk kita meneruskan perjuangan yang baru bermula tidak sampai setahun jagung.”

Musthapa berkata sebagai seorang Suluk dan juga ahli Pekida Sabah, beliau turut menyokong  menyokong kenyataan setiausaha Persatuan Peranakan Suluk Sabah (PPSS) Datu Lakson bin Datu Majindi pada 9 Januari bahawa tidak ada keperluan bagi PPBM masuk ke Sabah seperti yang dihasratkan oleh Datu Akjan.

Seperti apa yang dinyatakan oleh Datu Akjan dalam laporan 11 Januari lalu iaitu kaum Suluk dan Bajau adalah penyokong kuat Mohd Shafie maka mereka harus buktikan dengan berdiri teguh di belakang kepimpinan Ketua Menteri, katanya.-SabahNewsToday