Pilih Bahasa

PPK disaran bangunkan unit, manfaat dana disediakan kerajaan

KUDAT: Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kudat disaran membangunkan unit-unit peladang, selain mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada anak-anak ahli peladang.

Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Datuk Mazlan Aliman berkata PPK juga perlu mengambil peluang dari dana serta kemudahan yang ditawarkan oleh kerajaan.

Mazlan (kiri) menyampaikan bantuan banjir kepada seorang penerima sambil diperhatikan oleh Khairuddin (dua dari kiri). Gambar SNT/Ihsan LPP

“Ini penting agar lebih banyak peluang pekerjaan dapat diwujudkan serta memberi peluang pekerjaan kepada anak-anak ahli peladang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Sumbangan Bantuan Banjir kepada Ahli dan Penyerahan Beg Sekolah Kepada Anak PPK Kudat di perkarangan pejabat PPK di sini, semalam.

Katanya PPK dan usahawan PPK boleh mendapatkan pelbagai kemudahan seperti dana Rezeki Tani yang menawarkan pembiayaan sehingga RM10,000 kepada ahli di kalangan B40 yang ingin terlibat dalam projek pertanian bagi menambahkan pendapatan.

“Dana dari Agropreneur Muda menawarkan geran sehingga RM20,000 kepada usahawan muda yang ingin membesarkan projek mereka.

Mazlan (dua dari kiri) menyampaikan bantuan peralatan sekolah di majlis itu, sambil diperhatikan oleh Mohd Khairuddin (dua dari kanan). Gambar SNT/Ihsan LPP

“Selain itu bagi pembiayaan Tabung Pembangunan Usahawan Peladang (TPUP) pula telah dipermudahkan dan jika nilai dibawah RM 50,000.00 ianya hanya boleh diluluskan di peringkat LPP negeri sahaja”, tambahnya.

Mazlan juga memaklumkan bahawa PPK dan usahawan juga boleh mendapatkan dana dari Agrobank termasuk dana kalobrasi Petnonas bersama Agrobank berjumlah RM100 juta yang boleh dimanfaatkan untuk mengaktifkan unit dan sebagainya.

Beliau yakin dengan penglibatan unit-unit sebagai satu entiti yang melaksanakan projek, akan mewujudkan peluang pekerjaan kepada anak ahli dan mereka ini tidak lagi berhijrah keluar.

“Kita yakin jika projek-projek pertanian kita dilaksanakan secara berkesan, kita akan boleh penuhi permintaam dalam negara malah boleh di eksport.

Mazlan (barisan hadapan, dua dari kiri), Mohd Khairuddin (tiga dari kiri), Anita (barisan hadapan, kanan) bersama para penerima bantuan banjir dan peralatan sekolah di majlis itu. Gambar SNT/Ihsan LPP

“Kita akan bawa dimensi baru kepada bidang pertanian agar dapat melahirkan usahawan- usahawan berjaya,” tegas Mazlan.

Dalam majlis itu, seramai 136 keluarga telah menerima bantuan bencana banjir berupa barang keperluan dapur, manakala 100 pelajar menerima peralatan sekolah masing-masing.

Turut hadir ialah Pengarah LPP Negeri Sabah, Hajah Anita Misuari, Pengerusi PPK Kudat, Mohd Khairuddin Daud, Pengarah Bahagian Pengeluaran Usahawan & Pembiayaan LPP, Amir Matamin, Pengurus Besar PPK Kudat, Norlizah binti Umong, Ahli Lembaga LPP, Haris Alimudin serta ketua-ketua jabatan sekitar Kudat.-SabahNewsToday