Pilih Bahasa

PPK TUARAN & PPN SABAH MAHU NAFAS KEKALKAN BAYAR 10 PERATUS DIVIDEN

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

TUARAN: Pertubuhan Peladang  Kawasan (PPK) Tuaran dan Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Sabah menyokong saranan PPN Sarawak agar Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) mengekalkan bayaran dividen 10 peratus bagi pelaburan dalam Dana Peladang Kebangsaan (DPK) bagi tahun 2018.

Pengerusi PPK Tuaran, Sylvia Belinggi berkata NAFAS perlu mengekalkan agihan dividen 2018 sebanyak 10 peratus untuk DPK seperti yang dijanjikan.

Pengerusi PPK Tuaran, Sylvia Belinggi. – Gambar SNT / Ehsan PPK Sabah

“Setiap tahun para pelabur yang terdiri daripada ahli-ahli peladang seluruh negara menerima agihan dividen sebanyak 10 peratus untuk lima tahun berturut-turut iaitu sejak ditubuhkan pada 2013.

“Untuk dividen 2018, ahli-ahli peladang yang telah melabur duit mereka dalam DPK khususnya dari PPN Sabah dan PPK Tuaran khasnya mengharapkan agihan sebanyak 10 peratus dividen”, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sylvia mengulas kenyataan Pengerusi PPN Sarawak, Datuk Sylvester Entri Muran yang meminta NAFAS meneruskan agihan dividen 10 peratus yang telah diagihkan selama 5 tahun berturut-turut untuk tahun 2018.

Beliau berkata, NAFAS yang telah digantung Perlembagaannya oleh Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) pada Jun 2018 telah ditakbir oleh Ketua Pentadbir yang dilantik dari pegawai LPP manakala semua pegawai yang membantu mengurus tadbir NAFAS dalam waktu penggantungan terdiri daripada pegawai-pegawai LPP.

“Dengan penggantungan tersebut dikhuatiri akan menjejaskan semua urusniaga dan keuntungan NAFAS bagi tahun kewangan 2018. Selanjutnya akan menjejaskan kadar dividen yang harus diagihkan kepada pelabur DPK,” katanya.

Sylvia berkata, ahli-ahli peladang seluruh negara, termasuk PPK Tuaran seramai 130 orang melibatkan jumlah pelaburan kira-kira RM1.2 juta bimbang NAFAS tidak mampu mengekalkan pengagihan dividen tersebut.

Beliau yang juga Ahli Jemaah Pengarah PPN Sabah berkata, ahli-ahli peladang negeri ini berhak mengetahui prestasi perniagaan dan keuntungan yang diperolehi oleh NAFAS dan juga DPK setelah  penggantungan Perlembagaan NAFAS oleh  LPP selaku pendaftar.

Katanya tindakan penggantungan perlembgaan NAFAS  mungkin menjejaskan perolehan dan keuntungan bagi tahun lalu.

Sylvia menegaskan mengikut Seksyen 24A(2) Akta 109 Pertubuhan Peladang 1973, mana-mana pihak yang mendatangkan kerugian kepada NAFAS, akibat penggantungan itu, maka Ketua Pengarah LPP, Ketua Tadbir NAFAS dan Pegawai-pegawai LPP yang ditempatkan di NAFAS boleh dikenakan ‘surcharge’  dibawah seksyen tersebut.

Katanya, ahli PPK Tuaran merupakan pelabur terbesar dari Sabah untuk DPK kerana jaminan pulangan pelaburan sebanyak 10 peratus dividen setiap tahun.

Menurutnya DPK ditubuhkan bertujuan mengwujudkan saluran pengurusan dana yang disatukan bagi rangkaian gerakan pertubuhan peladang.

DPK berkonsepkan menerima dana sebagai deposit dan memberi perkhidmatan kemudahan pembiayaan rangkaian pertubuhan peladang.

Selain itu, operasi yang dijalankan oleh DPK adalah berlandaskan syariah yang menjadi asas produk DPK. – SabahNewsToday