Pilih Bahasa

PPM banteras dadah di perairan Labuan

Oleh Junaidi Ladjana

PPM Labuan memeriksa juragan, kru bot, penumpang dan bot nelayan dalam Op Gelora Khas di perairan Labuan.- Gambar SNT/Ihsan PPM

LABUAN: Pasukan Polis Marin (PPM) menahan tujuh lelaki termasuk dua warga asing dalam Op Gelora Khas di perairan Labuan selama dua hari yang berakhir semalam.

Operasi berkenaan dilakukan di kawasan Jeti Fisheries, Jeti Marina Awam, Jeti LKIM Kiansam Terminal Feri dan laut pelabuan Labuan.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, operasi berkenaan mensasarkan kepada pengguna pengangkutan laut khasnya juragan, kru bot penampang, penumpang, bot nelayan dan water taxi yang beroperasi di wilayah ini yang terbabit dalam penyalahgunaan dadah.

Anggota PPM memeriksa warga asing dalam Op Gelora Khas di perairan Labuan. – Gambar SNT/Ihsan PPM

“Seramai 44 individu terdiri daripada juragan, kru bot, penumpang dan bot nelayan menjalani ujian saringan awal air kencing.

“Hasilnya kita menahan lima lelaki tempatan berusia 22 hingga 38 tahun ditahan kerana positif dadah jenis Methamphetamine.

“Seorang lelaki warga Filipina ditahan memiliki syabu seberat 0.12 gram dan seorang lagi kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri berusia 30 dan 51 tahun,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

PPM Labuan menjalankan Op Gelora Khas di kawasan perairan Labuan. – Gambar SNT/Ihsan PPM

Mohamad Pajeri berkata, semua tangkapan dibawa ke Balai Polis Labuan untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 12(3) akta sama dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

“Pasukan PPM Wilayah 4 Sabah sentiasa menggerakan aset bot ronda bersama pegawai dan anggota serta bekerjasama dengan lain-lain cawangan dalam PDRM bagi memastikan segala aktiviti yang menyalahi undang-undang dapat dibanteras,” katanya.

Antara individu yang ditahan kerana didapati terbabit penyalahgunaan dadah dalam Op Gelora Khas di perairan Labuan. – Gambar SNT/Ihsan PPM

Operasi berkenaan disertai 21 anggota termasuk pegawai daripada PPM Labuan dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Labuan. – SabahNewsToday