Pilih Bahasa

PPM catat nilai rampasan RM2.3 juta dalam tempoh Januari hingga Ogos

Oleh Nasrawati Syarifuddin

Mohd Nazari menunjukkan lokasi kawasan operasi yang dijalankan pihaknya bersama KPDNHEP. – Gambar SNT/Nasrawati Syarifuddin

TAWAU: Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau merekodkan nilai rampasan lebih RM2.3 juta dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini membabitkan 190 kes atas pelbagai kesalahan.

Pegawai Pemerintah PPM Tawau, Deputi Superintendan Mohd Nazari Ismail berkata kes mengikut Enakmen Pelabuhan dan Dermaga 2008 antara yang tertinggi direkodkan iaitu sebanyak 73 kes diikuti Akta Imigresen dan Akta Kawalan Perbekalan masing-masing 29 kes.

“Sebanyak 11 kes lagi direkodkan mengikut Akta Kastam, Ordinan Perkapalan dan Saudagar 1952 (enam kes), Akta Farmasi (empat) manakala Enakmen Perhutanan pula dengan tiga kes. 

“Akta Dadah Berbahaya dan Akta Pendaftaran Negara pula masing-masing merekodkan dua kes dan satu kes mengikut Enakmen Haiwan,” katanya dalam sidang media di Markas Operasi PPM Tawau di sini hari ini.

Mohd Naziri (tengah) pada sidang media berhubung kes tangkapan yang dijalankan PPM dari Januari hingga Ogos tahun ini. – Gambar SNT/Nasrawati Syarifuddin

Beliau berkata hasil rampasan berkenaan sebanyak RM1.3 juta direkodkan pada Januari diikuti April sebanyak RM404,000 dan RM199,000 pada Mac. 

Katanya kesedaran masyarakat maritim di kawasan perairan Tawau kini menunjukkan perubahan positif apabila kurangnya kesalahan jenayah dilakukan orang awam. 

“Pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) turut membantu dalam tugas harian supaya berjalan dengan lancar,” katanya. 

Terdahulu, beliau berkata sebanyak empat kes melibatkan KPDNHEP dan penyalahgunaan dadah direkodkan dalam Operasi Bersepadu Sempena Hari Raya Aidiladha selama empat hari yang berakhir semalam. 

Jelasnya, operasi itu dijalankan di kawasan hotspot yang dikenalpasti di kawasan perairan laut CIQ, Laut Pelabuhan, Tanjung Batu, Log Pond, Batu 3.5 Jalan Apas.

“Operasi ini melibatkan sembilan anggota PPM dan enam pegawai KPDNHEP Cawangan Tawau dan sepanjang operasi ini berjalan, tidak ada sebarang kejadian tidak diingini berlaku,” tambahnya. 

Dalam pada itu beliau menasihatkan  orang ramai sentiasa berhati-hati dan tidak melakukan sebarang kesalahan undang-undang mahupun jenayah khususnya di kawasan perairan negara.

“PPM akan terus komited melaksana tugas dan menjalankan operasi daripada semasa ke semasa dan berharap orang ramai membantu menyalurkan segala maklumat yang berkaitan. – SabahNewsToday