Pilih Bahasa

PPM dan PGU Sabah laksana penerbangan ehsan

Oleh Junaidi Ladjana

Anggota polis marin, Konstabel Samri Ghani tiba di Pangkalan Pasukan Gerakan Udara Sabah dari Tawau di KKIA. Turut kelihatan Mohamad Pajeri (kanan). – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Pasukan Polis Marin (PPM) bersama Pasukan Gerakan Udara (PGU) Sabah hari ini melaksanakan penerbangan ehsan membawa anggota PPM Semporna yang selesai menjalani rawatan pembedahan usus besar di Hospital Tawau.

Konstabel Samri Ghani, 28, yang berasal dari Kampung Inunam, Beaufort mula menerima rawatan di hospital berkenaan pada 24 Mac lalu sehingga hari ini.

Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata anggota terbabit berlepas pada pukul 11.30 pagi tadi di Lapangan Terbang Tawau dengan menaiki pesawat Cessna Caravan CE208 PGU dan diiringi satu pegawai PPM dan dua pegawai PGU serta seorang anggota.

Anggota polis marin, Konstabel Samri Ghani tiba di Pangkalan Pasukan Gerakan Udara Sabah dari Tawau. Turut kelihatan Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali (dua kanan) bersama Komander PGU Sabah Asisten Komisioner Ahmad Lokman Abdul Hadi (tiga kanan). – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Anggota terbabit selamat tiba bersama pesawat PGU dan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa (KKIA) Kota Kinabalu pada pukul 1.30 petang dan terus ke Pangkalan Hadapan PGU Kota Kinabalu.

“Anggota terbabit dibawa bersama kenderaan jenis Preve PPM Sabah untuk dihantar ke kampung keluarganya untuk dijaga oleh isteri anggota terbabit,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata walaupun kesibukan dengan operasi wabak Covid-19 ini, kebajikan pegawai dan anggota PPM W4 Sabah beliau tidak akan diabaikan.

Anggota polis marin, Konstabel Samri Ghani (duduk) dibantu petugas sebelum dibawa pulang menaiki pesawat Cessna Caravan CE208 milik Pasukan Gerakan Udara (PGU) Sabah di Lapangan Terbang Tawau. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Malah, katanya akan pastikan semua warga PPM terus sihat sepanjang Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) agar dapat menjalankan tugas dengan sempurna.

“Selain itu, saya juga mengingatkan warga PPM Sabah supaya menjaga kesihatan yang baik serta mematuhi garis panduan diberikan sebelum, semasa dan selepas tugas dilaksanakan seperti pemakaian penutup mulut dan hidung, sarung tangan dan mencuci tangan.

“Terima kasih kepada PGU Sabah kerana membantu anggota PPM Semporna dalam melaksanakan penerbangan ehsan ini,” katanya. – SabahNewsToday