Pilih Bahasa

PPM gagalkan cubaan seludup 2,600 liter minyak petrol

Oleh Nasrawati Syarifuddin

Eempat suspek ditahan dalam dua bot berasingan di Perairan Pulau Bum-Bum Semporna. – Gambar SNT/Ihsan PPM Semporna

SEMPORNA: Pasukan Polis Marin (PPM) menggagalkan cubaan empat lelaki palauh menyeludup keluar 2,600 liter minyak petrol ke Filipina dalam dua operasi berasingan, di sini semalam.

Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata hasil maklumat risikan yang disalurkan Unit Risikan Marin (URM), pihaknya menjalankan operasi bermula pukul 6.45 petang dan berakhir pukul 10.45 malam. 

Dalam serbuan pertama, pihaknya menjalankan serbuan di sebuah rumah kayu tidak bernombor, di Kampung Haji Pilau Pulau Bum Bum Semporna. 

“Ketika pemeriksaan dijalankan, kita menemukan 20 jerikin berisi 500 liter minyak petrol di dalam rumah terbabit. 

“Bagaimanapun, tiada tangkapan suspek dilakukan di rumah berkenaan berkemungkinan suspek sudah menghidu pergerakan pihak penguatkuasa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semua barangan dirampas dan dibawa ke Markas Operasi PPM Semporna. – Gambar SNT/Ihsan PPM Semporna

Mohamad Pajeri berkata, serbuan kedua dilakukan di kawasan perairan Kampung Gusung Melanta, Pulau Bum Bum dan berjaya menahan dua bot dinaiki empat lelaki palauh. 

Katanya hasil pemeriksaan mendapati keempat-empat suspek gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri yang sah, selain itu pemeriksaan ruang dalam perahu itu menemukan 70 jerikin berisi 2,100 minyak petrol.

Tambah beliau lagi suspek turut gagal menunjukkan sebarang dokumen kebenaran membawa barang kawalan terbabit daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP). 

“Hasil siasatan awal, suspek mengaku cuba membawa barang kawalan terbabit ke Sitangkai, Filipina,” ujar beliau. 

Semua barangan termasuk bot dan enjin dianggarkan bernilai RM15,345 dibawa ke Pangkalan Markas Operasi PPM Semporna untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 20 Akta Kawalan Bekalan 1961. – SabahNewsToday