Pilih Bahasa

PPM Lahad Datu rampas rokok seludup bernilai lebih RM16 ribu

Oleh Nasrawati Syarifuddin

LAHAD DATU: Pasukan Polis Marin (PPM) merampas 7,850 rokok pelbagai jenama dipercayai diseludup masuk dari negara Filipina, di kawasan Kampung Desa Bajau, dekat sini, semalam.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata anggotanya daripada Unit Risikan Marin (URM) melihat sekumpulan lelaki berada di kawasan berkenaan pukul 8.30 malam.

Rokok pelbagai jenama bernilai RM16,750 dipercayai diseludup dari negara Filipina. Gambar SNT / Ihsan PPM Lahad Datu

“Curiga dengan keadaan itu, kita kemudian menghampiri suspek. Bagaimanapun, suspek berjaya melarikan diri ke kawasan semak.

“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat beberapa longgokan plastik hitam ditemui di kawasan terbabit yang berisi 7,850 bungkus rokok pelbagai jenama.

“Kita percaya rokok berkenaan baharu saja diseludup dari negara Filipina melalui perairan daerah ini sebelum mendarat di kawasan berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata semua rokok berkenaan dianggarkan bernilai RM16,750.

Pasukan Polis Marin (PPM) menemui plastik hitam berisi 7,850 bungkus rokok pelbagai jenama di kawasan Kampung Desa Bajau Lahad Datu, semalam. Gambar SNT / Ihsan PPM Lahad Datu

“Rokok terbabit dirampas dan dibawa ke Markas Operasi PPM Lahad Datu sebelum diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat dibawah Akta Kastam 1967,” katanya. – SabahNewsToday