Pilih Bahasa

PPM patahkan cubaan menyeludup keluar rokok dan coklat

Oleh Junaidi Ladjana

LABUAN: Cubaan menyeludup keluar beberapa barangan bercukai bernilai RM20,746 daripada daerah ini gagal apabila dikesan Pasukan Polis Marin (PPM), semalam.

Dalam kejadian jam 6.10 petang itu, bot ronda PPM Labuan yang sedang menjalankan tugas rondaan Op Gelora di kawasan laut pelabuhan menahan sebuah bot penumpang untuk tujuan pemeriksaan.

Barangan bercukai yang cuba diseludup keluar berjaya dirampas Pasukan Polis Marin Labuan. Gambar SNT/Ihsan PPM Labuan

Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata hasil pemeriksaan yang dijalankan ke atas bot itu mendapati terdapat 20,000 batang rokok jenama Pensil (MAS) bernilai RM18,750 dan coklat pelbagai jenama bernilai RM1,847 yang belum dibayar cukai.

“Ketika pemeriksaan mendapati tiada seorang penumpang bot termasuk juragan dan kru bot mengaku memiliki atau bertanggungjawab terhadap semua barangan berkenaan.

Anggota PPM Labuan menaiki bot untuk membuat pemeriksaan. Gambar SNT/Ihsan PPM Labuan

“Semua barangan kemudian dirampas untuk tindakan lanjut,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Mohamad Pajeri berkata siasatan mendapati bot yang bergerak dari Labuan menuju ke daerah Menumbok itu dikendalikan oleh juragan bot warga tempatan berusia 27 tahun.

“Semua barang rampasan kemudian dibawa ke pangkalan PPM Labuan untuk tindakan selanjutnya dan akan dirujuk ke Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Labuan untuk tindakan selanjutnya.

Anggota PPM Labuan menunjukkan barangan bercukai yang cuba diseludup keluar dari Labuan. Gambar SNT/Ihsan PPM Labuan

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 kerana cuba diseludup keluar tanpa membayar cukai,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya sentiasa mengatur gerak aset bersama pegawai dan anggotanya menjalankan operasi dan rondaan di perairan bagi memastikan sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang dapat dibanteras.

“Justeru itu kerjasama daripada masyarakat setempat dalam menyalurkan maklumat juga amat diharapkan untuk tindakan pembanterasan yang lebih efektif,” katanya. -SabahNewsToday