Pilih Bahasa

PPM patahkan cubaan seludup 2,550 petrol ke Filipina

Oleh Nasrawati Syarifuddin

Pajeri (kiri) menunjukkan rampasan tong berisi petrol dan akan diserahkan kepada pihak KPDNHEP untuk tindakan lanjut. – Gambar SNT/Ihsan PPM Tawau

TAWAU: Tindakan pantas Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya mematahkan cubaan seludup 85 tong berisi 2,550 liter petrol ke negara Filipina di perkampungan atas air Batu 4 Jalan Apas di sini, semalam.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali ketika dihubungi berkata pihaknya menjalankan serbuan di lokasi berkenaan selepas menerima maklumat daripada orang awam berkaitan aktiviti penyeludupan petrol.

Dua bot yang digunakan suspek untuk membawa muatan tong berisi petrol. – Gambar SNT/Ihsan PPM Tawau

Katanya ketika serbuan dijalankan, pemilik bot bertindak meloloskan diri apabila suspek menyedari kehadiran pihak penguatkuasa menghampiri bot mereka.

“Pemeriksaan lanjut mendapati bot pertama membawa muatan 53 tong berisi petrol manakala bot kedua membawa muatan 32 tong berisi petrol.

Tong berisi petrol cuba diseludup ke negara Filipina. – Gambar SNT/Ihsan PPM Tawau

“Kesemua tong berisi 2,550 liter petrol berkenaan dianggarkan bernilai RM5,558 dipercayai cuba diseludup ke negara Filipina,” katanya.

Beliau berkata semua barangan dirampas dan diserahkan kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk tindakan lanju mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961. – SabahNewsToday