Pilih Bahasa

PPM patahkan cubaan seludup masuk penutup mulut dan hidung

Oleh Nasrawati Syarifuddin

TAWAU: Penutup mulut dan hidung yang kini semakin mendapat permintaan tinggi ekoran wabak koronavirus menjadikan segelintir individu cuba cari keuntungan dan sanggup menyeludup barangan berkenaan daripada negara jiran.

Bagaimanapun cubaan menyeludup 240 kotak penutup mulut dan hidung melalui perairan Pelabuhan Tawau, petang tadi, berakhir dengan kegagalan selepas pihak Pasukan Polis Marin (PPM) merampas barangan itu.

Juragan bot mendakwa penutup mulut dan hidung berkenaan milik seorang penduduk tempatan dan dia hanya membawa barangan terbabit. Gambar SNT / Ihsan PPM Tawau

Dalam kejadian jam 2.30 petang, sepasukan anggota PPM dari bot Ronda PGR Tiga dalam tugas Operasi Gelora menahan sebuah bot penumpang yang dijuragani seorang lelaki warganegara Indonesia.

Beliau berkata suspek berusia 40 tahun itu dipercayai dalam perjalanan dari Sungai Haji Kuning menuju ke Tawau.

Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata pemeriksaan ke atas bot penumpang berkenaan menemukan enam kotak mencurigakan berwarna coklat.

Pasukan Polis Marin rampas 240 kotak mengandungi penutup mulut dan hidung. Gambar SNT / Ihsan PPM Tawau

“Pemeriksaan lanjut di dalam kotak itu mendapati sebanyak 200 kotak mengandungi penutup mulut jenama Onemed dan 40 kotak jenama Skineer.

“Kesemua penutup mulut dan hidung itu dipercayai dibawa dari negara Indonesia dan cuba dijual di daerah ini,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata siasatan awal mendapati juragan bot mendakwa barangan yang dibawa adalah milik seorang penduduk tempatan dan suspek hanya menghantar barangan berkenaan.

“Bagaimanapun juragan gagal mengemukakan dokumen atau surat kebenaran bagi membawa barangan berkenaan.

“Semua barangan dirampas dan dibawa ke Pangkalan PPM Tawau untuk tindakan selanjutnya.

“Nilai rampasan dianggarkan bernilai RM 4,800 dan kes disiasat dibawah Akta Kastam 1967,” jelasnya. -SabahNewsToday