Pilih Bahasa

PPM rampas 6,843 bungkus rokok pelbagai jenama bernilai RM358,670

Oleh Mohd Nazllie Zainul

Anggota PPM merampas rokok pelbagai jenama dan menahan suspek dalam serbuan di Kota Kinabalu, Penampang, Putatan dan Tuaran. – Gambar SNT/Ihsan PPM

KOTA KINABALU: Sebanyak 6,843 bungkus rokok pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM358,670 dirampas Pasukan Polis Marin (PPM) bandar raya ini dalam serbuan dibeberapa premis sekitar Kota Kinabalu, Penampang, Putatan dan Tuaran.

Dalam operasi pada 26 dan 27 September lalu, PPM merampas rokok jenama Era Black, Era Premium Biru, Era Menthol, D&J Red, Astro Merah, Astro Hijau, Gudang Garam dan LA Menthol.

Komendar Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata maklumat diterima Gerakan Anti Rokok Seludup (GARS) yang disalurkan melalui Komander Pasukan Polis Marin Polis Diraja Malaysia Bukit Aman.

“Kita menahan seorang lelaki berbangsa Pakistan berumur 33 tahun di kawasan Penampang pada hari pertama operasi dilaksanakan.

“Turut dirampas sebuah kenderaan yang dijadikan tempat penyimpanan rokok-rokok haram ini. Semua barang rampasan dan suspek dibawa ke balai polis berhampiran bagi disiasatan lanjut,” katanya menerusi suatu kenyataan kepada media hari ini.

Dalam pada itu, Mohamad Pajeri berkata operasi berkenaan bertujuan untuk mengenalpasti dan membanteras penjualan rokok tidak bercukai yang sepatutnya hasil cukai terbabit disalurkan dalam pendapatan hasil negara.

Beliau turut menghargai kerjasama diberikan Ketua Polis Daerah Penampang dan Tuaran selain Majlis Daerah Penampang, Putatan, Tuaran serta Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) yang komited dalam membantu dari segi keanggotaan dan maklumat. 

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 135(d) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang 10 kali ganda nilai rampasan atau RM100,000 (yang mana lebih tinggi) atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali. – SabahNews Today