Pilih Bahasa

PPM rampas 78 botol Tanduay di persisiran pantai Tagupi

Oleh Nasrawati Syarifuddin

LAHAD DATU: Pasukan Polis Marin (PPM) merampas 78 botol minuman keras jenama Tanduay di persisiran pantai Tagupi, di sini, semalam.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata dalam operasi yang dijalankan pukul 12.30 pagi itu, pihaknya menemukan bungkusan mencurigakan di kawasan berkenaan.

78 botol minuman keras jenama Tanduay dibawa masuk ke daerah ini untuk dipasarkan. Gambar SNT / Ihsan PPM Lahad Datu

“Hasil pemeriksaan di dalam bungkusan itu, terdapat 78 botol minuman keras jenama Tanduay.

“Kita percaya minuman keras itu tidak memiliki cukai daripada pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan cuba diseludup masuk ke daerah ini untuk pasaran tempatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pihaknya sedang memburu individu yang cuba menyeludup masuk barangan berkenaan menggunakan laluan yang tidak diwartakan.

“Semua minuman keras dianggarkan bernilai RM3,900 itu dirampas dan dibawa ke Markas Operasi PPM Lahad Datu untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat dibawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” jelasnya. – SabahNewsToday