Pilih Bahasa

PPM Sabah lancar saluran WhatsApp untuk pemantauan perairan

Oleh Junaidi Ladjana

KOTA KINABALU: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah mewujudkan Pusat Kawalan dan saluran WhatsApp bagi memudahkan pemantauan di perairan negeri ini.

Komander PPM Bukit Aman Senior Asisten Komisioner Mohd Yusoff Mamat berkata pusat kawalan itu diwujudkan akan beroperasi selama 24 jam setiap hari meliputi di seluruh perairan Sabah.

Mohd Yusoff (tengah) menunjukkan nombor saluran WhatsApp PPM Wilayah 4 Sabah. Gambar SNT/Ihsan PPM

Katanya pusat kawalan berkenaan berfungsi bagi memantau semua pergerakan bot serta kapal yang mempunyai alat Sistem Pengesanan Automatik (AIS).

“Menerusi saluran ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan dapat memantau setiap pergerakan bot dan kapal di perairan negeri ini.

“Ia boleh dipantau selama 24 jam setiap hari untuk sebarang tindakan termasuk penguatkuasaan serta penyelamatan dapat dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pusat Kawalan di Bahagian Gerakan Operasi PPM Wilayah 4 Sabah di IPK Sabah, Kota Kinabalu, hari ini.

Ahmad memberi penerangan fungsi Pusat Kawalan kepada Yusoff ketika Majlis Perasmian di Bahagian Gerakan Operasi PPM Wilayah 4 Sabah di IPK Sabah, Kota Kinabalu. Gambar SNT/Ihsan PPM

Turut hadir Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Ariffin.

Pada majlis berkenaan, Mohd Yusoff turut merasmikan saluran aplikasi WhatsApp PPM Wilayah 4 Sabah di talian 013-283 1197 yang digunakan bagi mendekati masyarakat maritim di seluruh negeri ini.

Mohd Yusoff berkata pusat kawalan ini bukan saja bertujuan memantau keadaan keselamatan dan kedudukan bot serta kapal di lautan malah ia juga mampu mengesan keadaan cuaca.

Katanya melalui saluran itu, PPM juga mampu memperolehi maklum balas secara lebih terperinci daripada persatuan nelayan terutamanya di kawasan pantai timur termasuk Lahad Datu, Semporna dan Tawau.

“Setakat ini, saluran ini menunjukkan kejayaan dalam mendekati masyarakat maritim yang membantu dalam menyalurkan maklumat di kawasan masing-masing,” katanya. – SabahNewsToday