Pilih Bahasa

PPM Sandakan patahkan cubaan seludup masuk 7,000 telur penyu

Oleh Mohd Nazllie Zainul

SANDAKAN: Pasukan Polis Marin (PPM) daerah ini berjaya mematahkan cubaan seludup masuk 7,000 biji telur penyu bernilai RM12,600 di kawasan Sungai Batu Dua, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu, semua telur penyu berkenaan dipercayai diseludup bagai pasar tempatan sekitar lokasi penangkapan.

Anggota PPM Sandakan menunjukkan 7,000 biji telur penyu yang dirampas dalam serbuan di Sungai Batu Dua, kelmarin. Gambar SNT/ Ihsan PPM Sandakan

Komendar Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata semua telur terbabit dijumpai dalam rungan bot pam yang dinaiki seorang lelaki.

Mohamad Pajeri berkata serbuan itu dibuat selepas mendapat maklumat risikan serta pemantauan pihaknya.

“Hasil rondaan di kawasan berkenaan, anggota bertugas mendapati terdapat sebuah bot pam berwarna hijau biru berada dalam keadaan mencurigakan selain bertindak memecut laju selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa.

Telur penyu terbabit ditemui dalam pam bot yang terkandas. Gambar SNT/Ihsan PPM Sandakan

“Bagaimanapun, bot itu terkandas di kawasan cetek sebelum seorang lelaki dipercayai juragan bot berjaya melarikan diri.

“Bot pam ini dipercayai daripada Filipina dan kita juga percayai suspek adalah pemilik telur penyu terbabit dan mahu mahu menjualnya kepada penduduk tempatan di sini,” katanya menerusi kenyataan kepada media.

Beliau berkata susulan serbuan itu, pihak merampas semua telur penyu serta bot pam dengan jumlah keseluruhan dianggarkan RM16,000 terbabit untuk dibawa ke Markas Operasi PPM Sandakan bagi proses dokumentasi sebelum diserahkan kepada Jabatan Hidupan Liar Lahad Datu untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 iaitu dibawah Seksyen 41(1)(4)(a).

Denda tidak kurang daripada RM50,000 dan tidak lebih daripada RM250,000 serta penjara selama tempoh tidak kurang daripada satu tahun dan tidak lebih daripada lima tahun jika sabit kesalahan. -SabahNews Today