Pilih Bahasa

PPM Sandakan rampas syabu bernilai RM850

Oleh Mohd Nazllie Zainul

Lelaki bersama kanak-kanak warga asing ditahan berikutan penemuan dadah jenis syabu di dalam bot laju dinaiki dalam Ops Pensura di Sandakan. -Gambar SNT/Ihsan PPM Sandakan-

SANDAKAN: Pasukan Polis Marin (PPM) daerah ini merampas sebanyak 12.7 gram dadah jenis syabu dianggarkan bernilai RM850  dalam Ops Pensura, semalam.

Dalam operasi bermula jam 10 pagi itu, polis marin turut menahan dua individu warga Filipina terdiri daripada seorang lelaki berusia 38 tahun dan kanak-kanak lelaki berumur 12 tahun yang dipercayai pemilik dadah berkenaan.

Komendar Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata operasi itu dilaksanakan hasil maklumat risikan oleh anggota Unit Risikan Marin (URM) PPM Sandakan. 

“Kita menemukan satu plastik hablur jernih dipercayai dadah dalam sampul berwarna putih yang disorokkan di bot terbabit semasa ditahan pihak berkuasa ketika bergerak ke kawasan Sungai Tinosan Batu 7.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dengan kerjasama oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik daerah bagi membantu mengesan beberapa pihak yang dipercayai masih bergiat aktif dalam pengedaran dadah di daerah ini. 

“Kita juga percaya kegiatan berkenaan dijalankan oleh sindiket yang menyimpan serta mengedar bahan terlarang ini kepada penagih bukan sahaja di Sandakan malahan beberapa daerah lain sekitarnya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohamad Pajeri berkata semua tangkapan dan rampasan diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik daerah untuk siasatan lanjut. 

Sementara itu, beliau meminta orang awam yang memiliki maklumat berkaitan penjualan dan pengedaran dadah agar menyalurkan infomasi kepada pihak berkuasa dalam usaha menghindarikan masyarakat khususnya generasi muda terjerumus dengan najis dadah. – SabahNews Today