Pilih Bahasa

PPM selamatkan enam kru bot tunda di perairan Pulau Tambisan

Oleh Junaidi Ladjana

LAHAD DATU: Pasukan Polis Marin (PPM) Lahad Datu berjaya menyelamatkan empat anak kapal bot tunda yang terkandas di tengah laut ketika dalam perjalanan dari Sandakan ke Semporna, semalam.

Dalam kejadian jam 2 petang itu, semua mangsa warga tempatan berkenaan terkandas di perairan berhampiran Pulau Tambisan, di sini apabila bot tunda mereka mengalami masalah enjin.

PPM Lahad Datu berjaya menyelamatkan empat individu yang terkandas di perairan Pulau Tambisan, Lahad Datu. Gambar SNT/Ihsan FB PPM Sabah

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Lahad Datu, Superintendan Gan Pin Sing berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada penduduk kampung Pulau Tambisan pada jam 2.05 petang yang memaklumkan sebuah bot tunda terkandas di bahagian Barat pulau berkenaan.

Katanya bertindak atas maklumat berkenaan, sebuah botronda RH42 yang bertugas dikerah ke membuat rondaan di perairan berkenaan.

“Sebaik tiba di lokasi kira-kira 10 minit kemudian, pasukan bot ronda mendapati sebuah bot tunda terkandas berhampiran dengan tanda laut Pancang Kuning.

“Bot tunda berkenaan yang dinaiki empat individu kemudiannya diselamatkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Gan berkata hasil pemeriksaan mendapati bot tunda yang dinaiki empat lelaki berkenaan mengalami masalah enjin dan hanyut dibawa arus angin barat sebelum terkandas di lokasi berkenaan.

“Berikutan daripada kejadian itu, bot tunda berkenaan tirit mengalami kebocoran pada ‘underwaterhull’ bot berkenaan.

“Krew bot ronda RH42 kemudiannya membawa semua krew bot tunda ke Markas Tektikal Pulau Tambisan untuk tindakan lanjut.

“Pemeriksaan mendapati keempat-empat mangsa berusia antara 20 dan 50-an itu tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Sehubungan itu, Gan menyarankan semua bot atau kapal yang keluar ke laut perlu memastikan bot atau kapal mereka dalam keadaan baik ekoran keadaan cuaca tidak menentu serta laut bergelora ketika ini.

Katanya semua pihak perlu mengutamakan keselamatan di laut dengan memakai jaket keselamatan setiap masa.

“Masyarakat persisir pantai dan maritim khususnya juga diminta membantu dengan segera menyalurkan maklumat melalui aplikasi whatsApp Pasukan Polis Marin Wilayah Empat Sabah di nombor 0132831197 bagi memastikan keselamatan dan kemakmuran setempat terjaga serta terkawal,” katanya. – SabahNewsToday