Pilih Bahasa

PPM tahan dua kapal bersama diesel bernilai RM134,000

Oleh Junaidi Ladjana

Anggota PPM menunjukkan diesel yang diseleweng di atas kapal Gemia bersama juragan kapal berkenaan. – Gambar SNT/Ihsan PPM Labuan

LABUAN: Pasukan Polis Marin (PPM) menahan dua kapal bersama muatan diesel bernilai RM134,000 kerana melakukan penyelewengan barang kawalan tanpa kebenaran dalam kejadian di perairan Pulau Papan, di sini malam tadi.

Kedua-dua kapal Kargo dan Gemia itu ditahan oleh anggota PPM Labuan ketika sedang menjalankan tugas Op Gelora pada pukul 9.50 malam.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, hasil pemeriksaan di bahagian atas kapal kargo mendapati sedang melakukan aktiviti memindahkan diesel dianggarkan berjumlah 38,000 liter dari kapal Gemia.

Kapal Gemia ditahan PPM Labuan kerana terbabit dalam penyelewengan bahan bakar diesel di perairan Pulau Papan, Labuan. – Gambar SNT/Ihsan PPM Labuan

“Aktiviti ini dilakukan tanpa sebarang permit dan kebenaran daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

“Kedua-dua kapal bersama muatan diesel yang dianggarkan bernilai RM15.2 juta serta dua juragan berusia 36 dan 47 tahun warga tempatan ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, laporan polis dibuat di Balai Polis Labuan dan kes dirujuk ke pihak KPDNHEP Labuan untuk tindakan lanjut.

Bahan bakar diesel yang cuba diselewengkan sebelum berjaya dikesan PPM Labuan ketika menjalankan Op Gelora di perairan Pulau Papan, Labuan. – Gambar SNT/Ihsan PPM Labuan

“Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang-barang kawalan secara menyalahi undang-undang dan dihukum mengikut Seksyen 22(1) akta sama.

“Jika sabit kesalahan memperuntukan hukuman denda sehingga RM100,000 atau tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Sementara itu, beliau menegaskan bahawa aset bersama pegawai dan anggota PPM Wilayah 4 Sabah akan sentiasa menjalankan rondaan dan operasi di perairan negeri ini bagi memastikan aktiviti menyalahi undang-undang dapat dibanteras sekali gus keselamatan perairan negara terjamin. – SabahNewsToday