Pilih Bahasa

PPM tahan kapal muatan kayu jenis Amara bernilai RM180 ribu

Oleh Nasrawati Syarifuddin

TAWAU: Taktik juragan dan anak kapal menutup muatan 150 kayu jenis Amara bernilai RM180,000 menggunakan kanvas gagal mengaburi mata penguatkuasa selepas kapal dinaiki ditahan Pasukan Polis Marin (PPM), semalam.

Pegawai Pemerintah PPM Tawau, Deputi Superintendan Mohd Nazari Ismail berkata empat anggotanya yang sedang menjalankan Operasi Gelora menahan kapal berkenaan di perairan Sungai Pukol, dekat sini, pukul 9.30 pagi.

Pemeriksaan yang dijalankan mendapati 150 batang kayu amara di dalam kapal. Gambar SNT/Ihsan PPM Tawau

Katanya, hasil siasatan mendapati kapal terbabit dijuragani seorang lelaki warganegara Indonesia berusia 39 tahun bersama tiga anak kapal dipercayai dari Indonesia dan baharu tiba di perairan daerah ini.

“Pemeriksaan lanjut mendapati kapal berkenaan dipenuhi muatan 150 kayu bergergaji jenis amara pelbagai saiz bernilai RM180,000.

“Juragan turut gagal menunjukkan sebarang dokumen sijil pendaftaran pengimport dan lesen import untuk membawa barangan itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kapal yang dipercayai dari perairan Indonesia itu ditahan selepas didapati membawa kayu jenis Amara bernilai RM180,000. Gambar SNT / Ihsan PPM Tawau

Beliau berkata juragan dan anak kapal ditahan untuk siasatan lanjut manakala kayu amara terbabit dirampas.

“Kes disiasat dibawah Enakmen Hutan Negeri Sabah 2015,” jelasnya. – SabahNewsToday