Pilih Bahasa

PPM Tawau gagalkan cubaan seludup keluar 3,030 liter minyak petrol ke Filipina

Oleh Nasrawati Syarifuddin

TAWAU: Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya menumpaskan cubaan seludup 101 jerikin berisi 3,030 liter minyak petrol ke negara Filipina melalui perairan Batu 4, Jalan Apas, semalam.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata tangkapan berkenaan dijalankan oleh sepasukan anggota PPM yang sedang menjalankan Operasi Gelora Khas yang bermula pukul 10.30 malam.

PPM merampas 101 jerikin berisi 3,030 liter minyak petrol dipercayai cuba diseludup ke negara Filipina. Gambar SNT / Ihsan PPM Tawau

“Ketika operasi dijalankan, kita mendapati tiga bot mencurigakan dipercayai sedang menuju ke perairan Filipina.

“Hasil pemeriksaan di dalam ketiga-tiga bot berkenaan, kita menemukan 101 jerikin berisi 3,030 minyak petrol.

“Bagaimanapun, semua juragan bot berkenaan sempat melarikan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ketiga-tiga bot berkenaan dipenuhi muatan minyak petrol. Gambar SNT / Ihsan PPM Tawau

Mohamad Pajeri berkata, pihaknya turut menahan empat penumpang lelaki berusia 17 hingga 22 tahun dipercayai penumpang bot berkenaan.

“Pemeriksaan mendapati semua penumpang terbabit tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

“Semua pati ditahan manakala barangan termasuk bot dan enjin dirampas.

“Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Imigresen 1959/63,” katanya. – SabahNewsToday