Pilih Bahasa

PPM Wilayah 4 Sabah catat 776 kes dari Jan – Jun tahun ini

Oleh Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah berjaya mencatat 776 kes dan 90 tangkapan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata ini menunjukkan peningkatan sebanyak 90 kes berbanding tempoh sama tahun lepas di mana sebanyak 686 kes telah dihasilkan melalui pelbagai operasi yang digerakkan.

Mohamad Pajeri Ali. Gambar Fail SNT

“Kejayaan ini adalah hasil daripada usaha PPM yang menyahut cabaran pihak atasan untuk membanteras kegiatan jenayah di perairan negara termasuk penyeludupan dan sebagainya,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Jamuan Hari Raya, Kaamatan, Gawai dan Meraikan Anggota Bersara dan Bertukar di Pangkalan Markas Operasi PPM Kota Kinabalu, Sabtu lepas.

Menurut Mohamad Pajeri pihaknya kini dalam usaha untuk menambah aset dan keanggotaan PPM Wilayah 4 Sabah bagi merancakkan operasi dan memerangi jenayah di perairan negeri ini.

“Kerajaan dan pucuk pimpinan juga berusaha untuk meningkat dan menambah bilangan anggota dan aset dalam menjaga serta mengawal perairan negara, khususnya di Sabah.

“Malah Ketua Polis Negara juga bersetuju untuk mendapatkan aset besar dimana pada peringkat awalnya kita hanya menjaga perairan di 12 batu nautika dan kita cuba usaha bersama rakan kita seperti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) untuk menjaga Sabah dengan baik,” jelasnya. -SabahNewsToday