Pilih Bahasa

Premis judi online dikesan beroperasi ketika PKP

Oleh Junaidi Ladjana

KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) hari ini mengesan lapan premis penjualan prabayar judi dalam talian cuba beroperasi dengan berselindung disebalik perniagaan kedai runcit.

Semua lapan premis ini dipercayai ‘berdegil‘ menjalankan operasi untuk mengaut keuntungan dengan mengambil kesempatan mengisi masa lapang pemain judi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

Penguatkuasa DBKK menjalankan pemeriksaan ke atas premis penjualan prabayar judi atas talian yang masih degil beroperasi ketika PKP. – Gambar SNT/Ihsan DBKK

Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Nordin Siman berkata semua premis berkenaan terus diarahkan tutup dan sudah dirujuk kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Katanya lapan premis yang dikesan membabitkan lima di sekitar Inanam dan masing-masing satu di Plaza Juta, Likas, Kingfisher dan Tanjung Aru serta di Telipok.

Penguatkuasa DBKK mengarahkan premis penjualan prabayar judi atas talian ditutup dan dirujuk kepada pihak polis. – Gambar SNT/Ihsan DBKK

“Hasil rondaan DBKK hari ini mendapati beberapa premis menjual prabayar judi dalam talian “online gaming” masih cuba beroperasi walaupun diberi arahan tutup sebelum ini.

“Semua premis ini akan dirujuk kepada pihak berkuasa untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sehubungan itu, Nordin berkata pihak DBKK memohon kerjasama orang awam supaya mengambil langkah-langkah pencegahan jangkitan virus Covid-19 dan mematuhi PKP. – SabahNewsToday