Pilih Bahasa

Presiden PGEBS dan seorang lagi individu mengaku tidak bersalah pecah amanah RM34,000

Oleh Junaidi Ladjana

KOTA KINABALU: Presiden Pertubuhan Gagasan Ekonomi Bumiputera Sabah (PGEBS) dan seorang lagi individu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas tuduhan pecah amanah membabitkan sejumlah wang RM34,000, pada 2012 lalu.

Jismit Japong, 54, bersama Mohd Hafiz Anuar, 36, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Mohd Hafiz Anuar, 36, didakwa pecah amanah menyalahgunakan harta secara tidak jujur berjumlah RM34,000 bersama Jismit Japong. Gambar SNT/Junaidi Ladjana

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa mencapai niat bersama melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan harta secara tidak jujur iaitu wang tunai sebanyak RM34,000 daripada akaun RHB Bank milik Mohd Hafiz.

Jismit Japong, 56, keluar daripada bilik mahkamah sesyen selepas didakwa pecah amanah menyalahgunakan harta secara tidak jujur berjumlah RM34,000, bersama seorang lagi tertuduh Mohd Hafiz Anuar. Gambar SNT/Junaidi Ladjana

Kesalahan itu didakwa dilakukan di RHB Bank, Blok B Bangunan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Jalan Karamunsing, Kota Kinabalu pada Mei 2012 hingga Julai 2012.

Bagi pertuduhan itu, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau dengan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Faliq Basiruddin yang mengendalikan pendakwaan itu menawarkan jaminan RM15,000 dan dikenakan syarat-syarat tambahan terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, Jismit yang diwakili peguam PJ Perira dan Mohd Hafiz yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan memandangkan kedua-duanya mempunyai tanggungan anak.

Hakim Abu Bakar kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan deposit RM5,000 serta seorang penjamin tempatan dan perlu melapor diri di pejabat SPRM dua bulan sekali dan pasport di serahkan kepada pihak mahkamah.

Mahkamah menetapkan 15 Okt depan sebagai tarikh sebutan semula kes. -SabahNewsToday