Pilih Bahasa

Prestasi gerakan Koperasi di Sabah meningkat

Kastian (dua dari kanan) menerima dokumen serah dan terima tugas daripada Basuini. – Gambar SNT/Ihsan Koperasi Sabah

KOTA KINABALU: Koperasi di Sabah mencatat sejumlah RM185, 295,719 perolehan hasil daripada aktiviti perniagaan mereka setakat Jun 2019, kata Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Negeri Sabah Kastian Dula.

Beliau berkata daripada 11 cawangan koperasi di Sabah, koperasi Tawau mencatat perolehan tertinggi iaitu RM60,034,862 dan daerah itu mempunyai sejumlah 172 buah koperasi dengan anggota seramai 27,554 orang.

Katanya koperasi dalam kawasan Pantai Barat Selatan (PBS) yang mempunyai 342 buah koperasi dengan seramai 108,980 ahli menduduki tangga kedua dengan perolehan perniagaan sebanyak RM57,169,820.

Menurutnya Sandakan menduduki tangga ketiga dengan jumlah perolehan perniagaan sebanyak RM32,344, 889 dengan sebanyak 216 buah koperasi dan jumlah anggota seramai 31,204 orang.

“Pantai Barat Utara berada di tangga ke empat dengan jumlah perolehan sebanyak RM10,200,461. Wilayah ini mempunyai sebanyak 223 buah koperasi dengan anggota seramai 23,921 orang”, katanya selepas majlis serah dan terima tugas jawatan Pengarah di pejabat SKM di Menara MAA, di sini baru-baru ini.

Kastian dilantik sebagai Pengarah SKM Sabah yang baharu berkuatkuasa 25 November 2019 menggantikan Basuini Ali yang berpindah ke Ibu pejabat SKM di Kuala Lumpur sebagai Pengarah Bahagian Pembiayaan Kredit SKM.

Dalam pada itu Kastian berkata daripada segi pemilikan aset koperasi-koperasi di Sabah setakat 30 Jun 2019, PBS berada pada tangga pertama dengan RM502,580,050, di samping syer dan yuran ahli sebanyak RM163,972,648, diikuti oleh Sandakan (kedua) dengan nilai aset RM121,850,606, dan syer serta yuran ahli sebanyak RM6,440,205.

“Tawau di tangga ketiga dengan nilai aset sebanyak RM78,177,157 dan RM7,143,503 syer dan yuran ahli. Pantai Barat Utara berada di tangga keempat dengan nilai aset berjumlah RM27,153,836 dan nilai syer dan yuran sebanyak RM6,756,882.

“Lahad Datu menduduki tangga kelima dengan nilai aset sebanyak RM9,737,726 dan syer dan yuran ahli sebanyak RM2,100,519,” katanya.

Kastian berkata, bilangan koperasi di Sabah setakat 30 Jun 2019 adalah sebanyak 1,565 buah dengan jumlah anggota seramai 270,852 orang berbanding 1,524 buah koperasi dengan seramai 272,059 orang ahli pada tahun 2018.

Menurutnya jumlah aset dimiliki oleh gerakan koperasi di Sabah bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini ialah sebanyak RM764,879,099 dengan jumlah syer dan yuran ahli sebanyak RM193,249,794 berbanding nilai aset sebanyak RM890,633,468 dan jumlah syer dan yuran sebanyak RM189,761,757 setakat tahun 2018.

Beliau menjangkakan prestasi gerakan koperasi di Sabah tahun ini akan meningkat sehingga lima peratus berbanding tahun lepas.

Katanya perkembangan ini menunjukkan koperasi mendapat tempat dalam kalangan masyarakat di Sabah dan berhadap koperasi negeri itu lebih menceburi bidang perniagaan yang berimpak tinggi seperti ar rahnu, hartanah dan perladangan. – SabahNewsToday