Pilih Bahasa

PRINSIP RULE OF LAW PERLU MENJADI TUNJANG PENTADBIRAN KERAJAAN

Oleh Alfred Petrus

PUTRAJAYA: Kerajaan menegaskan bahawa prinsip Kedaulatan Undang-Undang (Rule of Law) harus sentiasa menjadi tunjang dalam setiap peringkat pentadbiran dan pengurusan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang) Datuk Liew Vui Keong berkata ia adalah penting bagi mendapatkan kepercayaan umum bahawa di bawah pentadbiran kerajaan baharu yang dipimpin oleh Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamed, semua pihak dalam negara termasuk rakyat biasa dan kerajaan adalah tertakhluk kepada undang-undang yang sama.

Datuk Liew Vui Keong. Gambar Fail SNT

“Prinsip ini adalah lebih adil, dan apa yang perlu dilakukan untuk memastikan ia dapat dipraktikan dengan berkesan ialah yang pertama, undang-undang itu sendiri hendaklah stabil dan tidak berubah.

“Kedua, mempunyai badan kehakiman yang bebas. Ketiga, penggunaan prinsip semakan kehakiman dan akhir sekali ialah kebebasan asasi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Maljis Amanat Tahun Baru 2019 di Bahagian Hal Ehwal Undang-undang Jabatan Perdana Menteri pada Khamis.

Justeru, katanya bagi memastikan Rule of Law pada tahap terbaik, kedaulatan undang-undang perlu dinilai melalui pelaksanaan dan penguatkuasannya.

Jelasnya dalam konteks tersebut, aplikasi undang-undang boleh dilihat melalui inisiatif cadangan kerajaan dalam meminda atau menggubal beberapa perundangan sedia ada.

“Selain itu katanya, beberapa pelaksanaan dasar semasa kerajaan seperti Menyemak Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) berhubung pelaksanaan hak-hak autonomi Sabah dan Sarawak selaras dengan peruntukkan-peruntukkan yang terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia 1963 adalah dilihat selari dengan konsep ‘Rule Of Law’.

“Pihak kerajaan juga tertakhluk kepada keputusan yang dibuat oleh badan kehakiman, iaitu badan yang bebas dan tidak terikat dengan kawalan kerajaan. Begitu juga terhadap semua rakyat di samping berhak untuk mendapatkan perbicaraan yang adil dan saksama dalam sebarang pertuduhan.

“Pihak pentadbir dan kakitangan kerajaan juga harus tidak mengamalkan rasuah dan meminta sogokan daripada masyarakat ketika memberikan perkhidmatan, sebaliknya haruslah telus dan boleh dipercayai,” katanya. -SabahNewsToday