Pilih Bahasa

PRK Kimanis: Dua kesalahan pilihan raya direkodkan sehingga semalam

KIMANIS, 15 Jan — Sebanyak dua kesalahan pilihan raya direkodkan sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis sehingga semalam, sejak proses penamaan calon pada 4 Jan lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan dua kesalahan itu direkodkan oleh Pasukan Penguatkuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) dan diambil tindakan berdasarkan kepada lawatan dan pemantauan PP-KPR sepanjang 11 hari kempen, semalam.

Perang bendera di kawasan P 176 Kimanis. Gambar Bernama

“Salah satu kesalahan itu adalah pemasangan bahan kempen pada premis awam (sekolah) melibatkan satu parti yang bertanding,” menurut SPR dalam satu kenyataan menerusi akaun rasmi Twitter suruhanjaya itu, hari ini.

Sementara itu, satu lagi kesalahan ialah pemasangan bahan kempen di luar kawasan Parlimen Kimanis yang melibatkan satu parti yang bertanding.

Kenyataan itu turut menyebut sebanyak 16 laporan polis diterima setakat semalam.

“Dua laporan (polis) yang diterima itu adalah mengenai perasaan tidak puas hati terhadap pemasangan bahan kempen yang didakwa memaparkan kenyataan negatif dan meminta pihak bertanggungjawab menurunkan bahan kempen tersebut,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, laporan polis melibatkan pelbagai kesalahan termasuk kenyataan berunsur fitnah dan ucapan berbaur hasutan turut dilaporkan.

Kenyataan itu turut memaklumkan, setakat semalam tiada laporan dibuat kepada SPRM dan sebanyak 63 ceramah atau program telah dipantau PP-KPR.

PRK Kimanis pada Sabtu ini (18 Jan) menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Karim Bujang, yang akan ditentang Datuk Mohamad Alamin daripada Barisan Nasional.

— BERNAMA