Pilih Bahasa

PRK Kimanis hanya akan diadakan selesai proses rayuan di Mahkamah Persekutuan

Oleh Chris Maskilone

KOTA KINABALU:  Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akur keputusan Mahkamah Pilihan Raya mengisytiharkan keputusan pilihanraya kawasan P.176 Kimanis sebagai batal dan tidak sah.

Pengerusi SPR Azhar Azizan Harun dalam satu kenyataan hari ini berkata buat masa ini, SPR perlu menunggu perakuan keputusan Mahkamah Pilihan Raya atau sehingga tempoh 14 hari untuk rayuan tamat bagi tindakan selanjutnya.

“SPR sentiasa bersedia untuk menjalankan Pilihan Raya Kecil (PRK) sekiranya ia perlu diadakan.

Menurutnya, berdasarkan keputusan tersebut, kerusi P.176 Kimanis diisytiharkan kosong dan PRK hendaklah diadakan.

“Namun memandangkan pihak-pihak terlibat mempunyai hak untuk merayu, pilihan raya kecil hanya akan diadakan sekiranya tiada rayuan atau proses rayuan di Mahkamah Persekutuan telah selesai sepenuhnya.

“Di bawah peruntukan undang-undang, SPR hendaklah mengisi kekosongan kerusi tersebut dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan dipastikan,” katanya.

Hakim Mahkamah Pilihanraya Datuk Leng Heng Cheong dalam keputusannya hari ini mendapati Pegawai Pilihanraya kawasan Kimanis yang dinamakan sebagai Responden Kedua dalam Petisyen Pilihanraya itu telah gagal menjalankan pilihanraya seperti yang dikehendaki oleh Seksyen 5(1)(a) Akta Pilihanraya 1958.

SPR yang dinamakan sebagai Responden Ketiga pula gagal mengambil tindakan untuk memastikan keputusan pilihanraya Kimanis adalah adil dan tepat.

Responden Kedua dan Ketiga diarah membayar gantirugi RM100,000 kepada petisyner, Datuk Karim Bujang.

Walaupun demikian, Mahkamah Pilihanraya tiada unsur rasuah dalam kempen Datuk Anifah Aman seperti yang didakwa oleh petisyner.

Leng mengarahkan Karim membayar gantirugi RM105,000 kepada Anifah.

Peguambela Anifah dilaporkan telah diarahkan oleh Anifah untuk memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan.-SabahNewsToday