Pilih Bahasa

PRK Kimanis: Pertembungan Warisan vs BN

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Karim Bujang (kanan) bersama Mohamad Alamin selepas pengumuman calon bertanding di PRK Parlimen Kimanis. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

KIMANIS: Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis menyaksikan pertembungan satu lawan satu di antara calon Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Karim Bujang berdepan Datuk Mohamad Alamin daripada Barisan Nasional (BN).

Perkara itu disahkan Pengawai Pengurus PRK Parlimen Kimanis, Jupery Etok setelah mengesahkan tidak ada bantahan daripada mana-mana calon semasa penerimaan borang pencalonan ditutup pada pukul 10 pagi tadi.

Karim yang juga Ketua Warisan Bahagian Kimanis tiba di pusat penamaan calon di Dewan Datuk Seri Panglima Haji Mohd Dun Banir pada pukul 9.13 dengan diiringi Ketua Menteri merangkap Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Christina Liew.

Turut mengiringi ialah Menteri Besar Kedah merangkap Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir; Presiden Amanah, Mohamad Sabu; Ketua Armada Pusat, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Penasihat DAP Lim Kit Siang.

Sementara itu, Mohamad tiba di pusat penamaan calon pukul 8.50 pagi sambil diiringi Pengerusi Umno Sabah, Datuk Bung Moktar Radin dan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan

Semasa menyerahkan borang pencalonan, Karim diiringi pencadangnya, Jaafar Ismail manakala Odong @ Lawrence Odong Sodoi selaku penyokong.

Mohamad pula diiringi pencadang dan penyokongnya iaitu Abd Rahim Jalani dan Joseph Mojumi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh berkempen diadakan selama 14 hari bermula tarikh penamaan calon hari ini.

Selain itu tarikh pengundian PRK Parlimen Kimanis adalah pada 18 Januari dan pengundian awal diadakan pada 14 Januari. – SabahNewsToday