Pilih Bahasa

PRK Kimanis-Petugas Puteri Umno dari Seputeh dijangkiti H1N1

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KIMANIS: Pergerakan Puteri Umno memberitahu seorang petugasnya di pusat daerah mengundi (PDM) Pekan Membakut disahkan menghidapi H1N1.

Menurut Ketua Puteri Umno Wilayah Persekutuan, Norbhaiti Sabar mangsa kini berada di Hospital Gleanegles Kota Kinabalu sejak malam Isnin.

“Dukacitanya dimaklumkan salah seorang petugas di PDM Pekan Membakut yang juga Penolong Setiausaha Puteri Umno WP merangkap Ketua Puteri Umno Bahagian Seputeh telah disahkan menghidapi H1N1 selepas dua hari bertugas di Kimanis.

“Kini beliau berada di Hospital Gleanegles Kota Kinabalu sejak semalam,” katanya dalam kenyataan di sini, pada Selasa.

Norbhaiti turut meminta semua pihak khususnya ahli Puteri Umno yang bertugas di semua PDM Parlimen Kimanis agar mengambil langkah berjaga-jaga.

Katanya mereka perlu lebih peka dan prihatin dengan sebarang tanda-tanda sakit sepanjang bertugas di mana-mana juga agar tidak dijangkiti wabak itu.

Ujarnya walaupun perjuangan adalah matlamat Barisan Nasional (BN)/Umno dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis, namun kesihatan jangan sesekali diabaikan.

Dalam pada itu beliau turut meminta semua pihak mendoakan agar mangsa diberikan kesihatan dan segera sembuh.

SabahNewsToday juga sedang berusaha untuk mendapatkan komen daripada Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk Frankie Poon berkaitan perkara itu. – SabahNewsToday