Pilih Bahasa

PRK Kimanis: Pimpinan PH perlu fikir langkah menangi semula hati rakyat – Anwar

PORT DICKSON, 18 Jan — Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) mengekalkan kerusi Parlimen itu menunjukkan kepimpinan Pakatan Harapan (PH) perlu memikirkan langkah yang lebih berkesan untuk memenangi semula hati rakyat.

Ketua Umum PH Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kini bukan masanya untuk menyalahkan sesiapa sebaliknya menerima kenyataan dan berbuat sesuatu bagi mengelak sokongan terhadap PH terus merosot.

Anggota Parlimen Port Dickson Datuk Seri Anwar Ibrahim (tiga, kanan) melayani anggota polis sambil dibantu Ketua Polis Daerah Port Dickson Supt Aidi Sham Mohamed (tiga, kiri) pada Majlis Sambutan Tahun Baru Cina Peringkat Port Dickson di Lukut Hartamas malam ini. Gambar Bernama

“Kita sudah dapat keputusan dan kena terima seperti biasa, tahniah kepada calon yang menang teruskan khidmat… saya percaya di Sabah di bawah kepimpinan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, kita akan terus tingkatkan usaha,” katanya ketika ditemui pada majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 2020 Port Dickson di Taman Lukut Hartamas di sini, malam ini.

Barisan Nasional (BN) mengekalkan kerusi Parlimen Kimanis pada PRK kawasan itu hari ini.

Calon BN Datuk Mohamad Alamin, 48, menang dengan majoriti 2,029 undi selepas memperoleh 12,706 undi, manakala pencabarnya Datuk Karim Bujang, 67, daripada Parti Warisan Sabah (Warisan) meraih 10,677 undi.

PRK itu diadakan selepas Mahkamah Persekutuan pada 2 Dis lepas mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu yang membatalkan kemenangan bekas Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman bagi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas.

— BERNAMA