Pilih Bahasa

PRK Sandakan: 47 peratus keluar mengundi setakat 3 petang

Oleh Chris Maskilone

SANDAKAN: Seramai 47 peratus daripada 39,684 pengundi berdaftar dalam Pilihanraya Kecil Sandakan keluar mengundi setakat jam 3 petang hari ini.

Peratusan yang keluar mengundi mula meningkat setelah bermula perlahan di sebelah pagi.

Sebanyak 19 pusat mengundi melibatkan 90 saluran dibuka pada 7.30 pagi ini dan akan ditutup pada jam 5 petang nanti.

Calon DAP Vivian Wong Shir Yee bersama kakaknya, Benita Wong Shir Yee menunjukkan jari berdakwat selepas membuang undi pada hari pengundian sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan di Sekolah Kebangsaan (SK) Muhibbah, Sandakan, di sini hari ini. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Para penganalisa politik sebelum ini berpendapat sekiranya peratusan yang keluar mengundi tinggi, keputusan akan berpihak kepada calon DAP, Vivian Wong Shir Yee.

Vivian anak kepada mendiang Datuk Stephen Wong membuang undi beliau di SK Muhibbah Batu Empat pada jam 7.30 pagi tadi.

Pengundi PRK Sandakan beratur menunggu giliran membuang undi. Gambar SNT/Mohd Adan Arinin

Manakala calon PBS, Datuk Linda Tsen tidak mengundi di Sandakan kerana beliau berdaftar di kawasan parlimen Batu Sapi.

Tiga lagi calon yang bertanding adalah calon Bebas terdiri daripada Hamzah Abdullah, Sulaiman Amat dan Chia Sew Yong.

Pengundi melakukan kewajiban bagi menentukan pemilihan Ahli Parlimen Sandakan selepas penyandangnya Datuk Stephen Wong meninggal dunia Mac lalu, hari ini. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Pemilih berdaftar di Parlimen Sandakan terdiri daripada 51 peratus pengundi Cina dan 45 peratus pengundi bumiputera Islam, manakala selebihnya kaum lain.

Sebanyak 49.48 peratus daripada jumlah keseluruhan pengundi adalah lelaki, manakala pengundi wanita merangkumi 50.52 peratus.-SabahNewsToday