Pilih Bahasa

PRK Sandakan: 61 peratus keluar mengundi awal setakat 10 pagi

SANDAKAN, 7 Mei (Bernama) — Sehingga 10 pagi ini, sebanyak 61 peratus pengundi awal telah keluar mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Sandakan.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Mohamed Elias Abu Bakar berkata proses pengundian masih berjalan di dua pusat mengundi iaitu Rumah Kelab Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan dan Mes Pegawai Kanan Pasukan Polis Marin (PPM) Sandakan.

Anggota keselamatan menunggu giliran membuang undi dalam PRK Sandakan. Gambar Bernama

“Pengundian awal bermula pukul 8 pagi tadi dan akan tamat di IPD Sandakan pukul 12 tengah hari, manakala pusat mengundi di PPM Sandakan akan tutup pukul 2 petang memandangkan jumlah pengundi di PPM lebih ramai.

“Di IPD ada 78 pengundi, manakala di PPM seramai 192 pengundi,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di PPM Sandakan di sini.

Mohamed Elias turut mengingatkan semua calon supaya mematuhi peraturan SPR semasa berkempen bagi mengelak kesalahan yang boleh diambil tindakan mahkamah.

Proses undi berjalan lancar dengan kehadiran anggota pemerhati SPR, pihak polis dan pemerhati daripada setiap calon.

Mohamed Elias turut melawat pusat mengundi awal di Rumah Kelab IPD Sandakan sebelum ke Mes Pegawai Kanan PPM Sandakan.

Calon yang bertanding dalam PRK itu juga hadir memerhati proses pengundian yang dijalankan dan rata-rata memuji SPR mengendalikan proses pengundian secara baik.

PRK Parlimen Sandakan menyaksikan pertembungan lima penjuru membabitkan calon Pakatan Harapan (PH) Vivian Wong Shir Yee, yang akan menggunakan lambang DAP; calon Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Linda Tsen Thau Lin dan tiga calon Bebas iaitu bekas pengasas Parti Amanah Negara (Amanah) Sabah, Hamzah Abdullah; ahli perniagaan Chia Siew Yung dan bekas pegawai tadbir Pusat Khidmat Parlimen Sandakan, Sulaiman Samat.

Ia diadakan susulan kematian penyandang kerusi Parlimen Sandakan Datuk Stephen Wong Tien Fatt akibat serangan jantung pada 28 Mac lepas.

Hari pengundian biasa ditetapkan pada Sabtu ini bermula 7.30 pagi hingga 5 petang.

— BERNAMA