Pilih Bahasa

PRK Sandakan: Calon Bebas galas tugas berat

Oleh Chris Maskilone

SANDAKAN: Tiga calon Bebas pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Sandakan berhadapan tugas berat menyaingi keupayaan jentera pilihanraya calon dari DAP dan Parti Bersatu Sabah.

Calon DAP, Vivian Wong yang juga anak kepada mendiang Ahli Parlimen Sandakan Datuk Stephen Wong Tien Fatt mendapat sokongan daripada jentera kerajaan Pakatan Harapan dan juga kerajaan gabungan Sabah pimpinan Warisan.

Manakala, calon Parti Bersatu Sabah, Linda pula mendapat sokongan jentera pilihanraya daripada hampir kesemua parti pembangkang baik tempatan mahupun kebangsaan di Sabah.

Dari kiri: Hamza Abdullah @ Hamzah, Chia Siew Yung dan Sulaiman Abdul Ahmad. Gambar Komposit SNT/Datu Ruslan Sulai

Hamza Abdullah @ Hamzah, Sulaiman Abdul Ahmad dan Chia Siew Yung ialah tiga calon Bebas yang ingin menawarkan perkhidmatan mereka kepada rakyat di sini.

Antara mereka hanya Hamzah, 54 yang mempunyai pengalaman setelah bertanding dalam tiga pilihanraya sebelum ini.

Antara pengasas Pas Sabah, Hamzah pernah bertanding pada Pilihan Raya Umum Negeri tahun 1999 di kawasan DUN Sekong, pada ketika itu masih berada dalam kawasan parlimen Libaran dan kalah.

Kemudian pada Pilihanraya Umum ke-13 (PRU13) tahun 2013, berdiri atas tiket Pas juga, Hamzah bertanding di kawasan parlimen Batu Sapi pula  yang akhirnya dimenangi kembali penyandangnya Datuk Linda Tsen Thau Lin ketika itu.

Dalam PRU14 tahun lalu, Hamzah sekali lagi bertanding di Batu Sapi kali ini atas tiket Parti Amanah Negara dalam pertandingan empat penjuru.

Kerusi itu dimenangi oleh calon Parti Warisan Sabah, Datuk Liew Vui Keong sekaligus mengalahkan penyandang, Linda Tsen.

Sementara itu, Sulaiman Abdul Ahmad, 36 merupakan bekas pembantu tadbir Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sandakan yang diwakili oleh mendiang Datuk Stephen Wong sebelum ini.

Sulaiman ialah pengerusi Kelab Belia Taman Mesra Bestari.

Manakala calon Bebas ketiga, Chia Siew Yung, 46 tahun ialah seorang pengusaha kelapa sawit dan mempunyai kelulusan dalam kejuruteraan mekanikal.

Chia akan mengharapkan sokongan daripada NGO, Suara Bebas Rakyat yang mana dia merupakan penasihatnya.

Kawasan Parlimen Sandakan mempunyai dua kawasan Dewan Undangan Negeri iaitu Elopura dan Tanjung Papat.

Hari pengundian PRK P186 Sandakan ialah pada 11 Mei depan.-SabahNewsToday