Pilih Bahasa

PRK Sandakan: PBS calonkan Linda Tsen?

Oleh Chris Maskilone

SANDAKAN: Bekas Ahli Parlimen Batu Sapi Datuk Linda Tsen dikatakan akan mengalas tanggungjawab sebagai wakil Parti Bersatu Sabah (PBS) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sandakan ini.

Walaupun, PBS hanya akan mengumumkan calonnya dalam sidang akhbar pukul 3 petang nanti namun nama Linda, 63 sudah hangat diperkatakan.

Linda Tsen Thau Lin. Gambar SNT/Ihsan lookP.com

Hari ini kepimpinan PBS diketuai Presiden Datuk Dr Maximus Ongkili terlebih dahulu akan bermesyuarat bermula pukul 2 petang di pejabat PBS Elopura di sini.

“Tidak mustahil, tapi kita tunggu pengumuman presiden parti petang nanti,” kata seorang pemimpin PBS apabila ditanya kebenaran spekulasi ini.

Linda dipilih menjadi Ahli Parlimen Batu Sapi yang merupakan ‘jiran’ kawasan Parlimen Sandakan dalam pilihanraya kecil pada 4 November 2010.

PRK Batu Sapi diadakan selepas penyandangnya, Datuk Edmund Chong ketika itu bendahari PBS dan juga adalah suami Linda, meninggal dunia dalam kemalangan jalanraya di Kota Kinabalu.

Dalam PRK Batu Sapi, Linda, seorang surirumah dan guru muzik mengalahkan calon PKR Ansari Abdullah dan SAPP, Datuk Yong Teck Lee dengan 6,000 lebih undi majoriti.

Beliau mempertahankan kerusi Batu Sapi bagi PBS-BN dalam Pilihanraya Umum ke-13 mengalahkan Hamzah Abdullah dari Pas dengan majoriti 3,798 undi.

Namun, pada PRU14, Batu Sapi jatuh kepada Parti Warisan Sabah yang diwakili oleh Datuk V K Liew, menewaskan Linda dalam pertandingan satu lawan satu dengan 4,619 undi.-SabahNewsToday