Pilih Bahasa

PRK Sandakan: Sah, Datuk Linda Tsen calon PBS

Oleh Chris Maskilone

SANDAKAN: Naib Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Linda Tsen Thau Lin telah diumumkan sebagai calon PBS bagi Pilihan Raya Kecil P186 Sandakan.

Pengumuman tersebut dibuat oleh presiden PBS Datuk Seri Dr Maximus Ongkili selepas mempengerusikan mesyuarat khas di Pejabat Bahagian Elopura di sini sebentar tadi.

Dr Maximus mengumumkan pencalonan Linda (duduk dua dari kiri) di Pejabat PBS Bahagian Elopura di sini hari ini. Gambar SNT/Ihsan PBS

Beliau menyifatkan Linda yang juga Ketua Bahagian PBS Elopura dan mantan Ahli Parlimen P185 Batu Sapi sebagai seorang pemimpin kanan diperingkat akar umbi yang rajin dan dedikasi dalam menjalankan tugas.

“Beliau bukanlah orang asing bagi Sandakan. Sebagai ahli Parlimen dua penggal beliau telah menunjukkan pencapaian baik dan merupakan pilihan terbaik untuk mewakili suara rakyat Sandakan di Parlimen,” katanya.

“Bukan sahaja kita memerlukan seseorang yang berpengalaman tapi juga mempunyai rekod perkhidmatan yang baik. Beliau amat disenangi dan rapat dengan masyarakat akar umbi,” ujarnya.

Dr Maximus mengangkat tangan Linda selepas diumumkan sebagai calon PRK P186 Sandakan hari ini. Gambar SNT/Ihsan PBS

PBS meminta pengundi di sini supaya memberi sokongan kepada calon parti itu.

Tambah beliau lagi, tugas untuk membawa suara rakyat ke Parlimen memerlukan seorang pemimpin yang telah terbukti kepimpinannya dan bukan bagi seseorang yang baru berjinak dengan politik.

“Kepada rakan-rakan politik kami – Star, SAPP, Usno, Umno dan MCA serta NGO-NGO, marilah bekerjasama dengan PBS dan bentuk satu suara demi mencapai satu objektif sama bersama-sama,” katanya.

Sepanjang perkhidmatan beliau sebagai Ahli Parlimen Batu Sapi, Linda, 63 telah mewakili Malaysia ke mesyuarat Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu serta menjadi Ketua Ahli Parlimen Wanita Malaysia dan menghadiri beberapa persidangan Asean Inter-Parliamentary Assembly.

Linda dipilih menjadi Ahli Parlimen Batu Sapi yang merupakan ‘jiran’ kawasan Parlimen Sandakan dalam pilihanraya kecil pada 4 November 2010.

PRK Batu Sapi diadakan selepas penyandangnya, Datuk Edmund Chong ketika itu menjawat jawatan bendahari PBS dan juga adalah suami Linda meninggal dunia akibat kemalangan jalanraya di Kota Kinabalu.

Dalam PRK Batu Sapi, Linda, seorang surirumah dan guru muzik mengalahkan calon PKR Ansari Abdullah dan SAPP, Datuk Yong Teck Lee dengan 6,000 lebih majoriti.

Beliau mempertahankan kerusi Batu Sapi bagi PBS-BN dalam Pilihanraya Umum ke-13 mengalahkan Hamzah Abdullah dari Pas dengan majoriti 3,798 undi.

Namun, pada PRU14, Batu Sapi jatuh kepada Parti Warisan Sabah yang diwakili oleh Datuk V K Liew, menewaskan Linda dengan 4,619 undi.-SabahNewsToday