Pilih Bahasa

PRK Sandakan: Semua pihak digesa patuhi undang-undang, peraturan dan etika berkempen

SANDAKAN, 26 April (Bernama) — Semua pihak yang terlibat dalam aktiviti berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan diingatkan agar sentiasa mematuhi semua undang-undang, peraturan dan etika pilihan raya sepanjang tempoh kempen pilihan raya mulai esok (27 April) hingga 11.59 malam 10 Mei.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Azizan Harun berkata SPR ingin mengingatkan bahawa sebarang aktiviti kempen seperti penjamuan makanan dan minuman serta pemberian hadiah, sama ada dalam bentuk barangan atau wang untuk secara rasuah mempengaruhi pengundi untuk memberikan atau tidak memberikan undi merupakan kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

“Perlu juga diingatkan bahawa apa-apa tindakan ataupun pernyataan yang mengganggu mana-mana pengundi daripada menjalankan hak pemilihannya secara bebas juga merupakan satu kesalahan di bawah akta yang sama, ” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Azhar berkata antara kesalahan yang menjadi perhatian ialah tindakan atau pernyataan yang bertujuan ataupun cenderung untuk mengembangkan perasaan jahat, tidak puas hati ataupun permusuhan antara kaum, dan yang mengancam dengan menggunakan kekerasan, keganasan ataupun halangan ke atas pengundi.

Menurutnya, kesalahan lain seperti tindakan atau pernyataan yang mengancam hendak mengenakan apa-apa bencana, kecacatan, kerosakan atau kerugian keduniaan ataupun kerohanian ke atas pengundi; dan yang mendorong mana-mana pengundi supaya mempercayai mana-mana individu akan menjadi seorang yang dimurkai Tuhan atau yang dicela kerohaniannya.

“SPR juga ingin memperingatkan calon ataupun parti yang diwakili calon agar tidak menyalahgunakan aset kerajaan ataupun menyalahgunakan kuasa kerajaan untuk meraih undi.

“Calon-calon dan juga pihak-pihak yang terlibat di dalam aktiviti berkempen hendaklah berkempen secara berhemah dan mengikut etika kempen yang menjamin keharmonian masyarakat, ” katanya.

Azhar juga menegaskan agar semua arahan pihak berkuasa, terutamanya daripada SPR, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) hendaklah sentiasa dipatuhi.

Beliau turut meminta mana-mana pihak yang mempunyai maklumat atau keterangan mengenai sebarang pelanggaran undang-undang oleh mereka yang terlibat di dalam aktiviti kempen disarankan untuk melaporkan perkara tersebut kepada pihak berkuasa yang berkenaan.

“Sehubungan dengan ini, apa-apa perbuatan yang melibatkan amalan rasuah haruslah dilaporkan kepada SPRM, manakala bagi kesalahan lain di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya atau di bawah Kanun Keseksaan hendaklah dilaporkan kepada PDRM, ” katanya.

Azhar juga mengingatkan sebarang bentuk kempen atau aktiviti merayu undi adalah dilarang pada hari mengundi, termasuk melalui saluran media sosial, serta semua parti dilarang untuk membuka, membina atau menyenggarakan pejabat atau barung semasa hari mengundi.

“SPR berharap semua pihak mematuhi undang-undang, peraturan dan etika kempen pilihan raya di PRK tersebut bagi memastikan kelancaran proses pilihan raya dan tidak menggugat ketenteraman dan keselamatan awam, ” katanya.

PRK Sandakan diadakan berikutan penyandangnya Datuk Stephen Wong Tien Fatt meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung pada 28 Mac lepas.

Hari penamaan calon ditetapkan pada esok (27 April) dan hari pengundian awal pada 7 Mei, manakala hari mengundi pada 11 Mei.

— BERNAMA