Pilih Bahasa

PRN Awal diadakan supaya rakyat yang tentukan Kerajaan Negeri

KOTA KINABALU: Pembubaran Dewan Undangan Negeri Sabah yang membuka jalan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) awal adalah untuk mengembalikan mandat kepada rakyat bagi menentukan Kerajaan Negeri sebenar.

Penyandang kerusi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Aru Datuk Junz Wong menjelaskan, “kalau boleh, kami pun tak nak pilihan raya sebab kami mahu terus membangunkan Sabah.”

Junz semasa memberi penerangan keadaan politik negeri semasa di kediaman Matnin Marian. Gambar SNT/Ihsan Warisan Tg Aru

“Tengok saja bah bermacam-macam program yang sedang dilaksanakan oleh sektor pertanian dan perikanan. Banyak program-program terpaksa ditangguh.”

“Sebab apa? Sebab katak-katak politik yang tidak sabar merampas kuasa,” kata Junz dalam lawatannya ke Tanjung Aru Lama dan Baru bagi menjelaskan sebab Pilihan Raya Negeri awal diadakan, hari ini.

Antara rumah dilawati adalah rumah kedua-dua Ketua Kampung, Jimin Minin and Matnin Marian.

Junz berkata Parti Warisan Sabah (Warisan) sebenarnya mampu menawarkan wang dan jawatan tinggi untuk menarik kembali YB-YB yang berpaling tadah.

“Mampu bah. Kami Kerajaan di Sabah.”

“Namun adakah ini budaya politik yang ingin diteruskan oleh rakyat Sabah?”

Junz memberi penjelasan kepada jentera pilihanraya di rumah Jimin Minin. Gambar SNT/Ihsan Warisan Tg Aru

Beliau mendakwa terdapat beberapa Adun yang ingin kembali ke Warisan kerana kesal dengan kesilapan besar mereka.

“Adakah ini mesej yang kami nak memberitahu ahli-ahli politik dan para pengundi?”

“Adakah kami nak beritahu orang ramai bahawa budaya ahli politik memperkayakan diri itu betul?”

Junz yang merupakan Naib Presiden Warisan berkata, “saya percaya jawapannya tidak.”

“Saya percaya rakyat tak nak budaya politik kewangan ini. Rakyat tak nak katak-mengkatak ini diteruskan.”

“Jadi pilihan terbaik adalah untuk mengembalikan mandat kepada rakyat. Kami letak keputusan itu di tangan rakyat,” katanya.

Turut bersamanya adalah Ketua Warisan Bahagian Putatan Datuk Awang Ahmad Sah, Ketua Wira Putatan Mohammad Firdaus dan Wirawati Izzatul Aini.-SabahNewsToday