Pilih Bahasa

PRN Sabah: Bilik operasi Pas Sabah diaktifkan seluruh negeri

Oleh Sabah News Today

KOTA KINABALU: Pas Sabah telah mengaktifkan bilik operasi pilihan raya bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan dalam tempoh terdekat ini. 

Selain itu, parti tersebut juga telah bersedia menghadapi PRN ini walaupun ia diadakan secara mengejut.

Ahmad Dullah. – Gambar SabahNewsToday/Ihsab Pas Sabah

Ketua Penerangan Pas Sabah, Ahmad Dullah berkata jentera parti berkenaan telah digerakkan disemua peringkat bagi melancarkan perjalanan pilihan raya negeri kali ini.

“Jentera kita (Pas) telah disusun dan digerakkan sejak Mac lagi memandangkan berlaku situasi politik yang tidak menentu dalam negara termasuklah di Sabah.

“Apabila diumumkan DUN Sabah dibubarkan, Pas tidak menunggu lama untuk mengarahkan seluruh jentera bergerak kearah kemenangan dalam PRN ini,” jelasnya lagi.

Menurut beliau lagi, selain aktiviti penerangan, Pas negeri turut mempergiatkan aktiviti menambah cawangan baharu, ahli baharu, bantuan kebajikan dan pelbagai lagi bagi menarik sokongan rakyat terhadap parti itu.

DUN Sabah telah dibubarkan pada Khamis lalu bagi memberi laluan kepada PRN yang perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran. 

Sebelum ini, bekas Ketua Menteri, Tan Seri Musa Aman mendakwa mempunyai majoriti cukup untuk membentuk kerajaan negeri baharu.

Namun demikian, Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin bersetuju membubarkan DUN atas permintaan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Pada PRU-14, sebanyak 60 kerusi DUN dipertandingkan namun pada Julai tahun lalu, Dewan Rakyat meluluskan usul tambahan 13 kerusi DUN Sabah menjadikannya 73 kerusi. – SabahNewsToday