Pilih Bahasa

PRN Sabah: Polis lulus 257 permit ceramah

Bernama

KOTA KINABALU, 14 Sept  — Polis Sabah telah meluluskan 257 permit ceramah daripada 264 permohonan diterima daripada parti politik yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN)  Sabah Ke-16, setakat hari ini.

 Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sabah ACP Tan Boon Sing berkata sebanyak tujuh permit ceramah telah ditolak kerana lima daripadanya tidak diisi dengan lengkap manakala dua lagi ditarik balik oleh pemohon. 

“Setakat ini polis Sabah juga telah menerima tujuh laporan polis berkaitan PRN Sabah dan satu kertas siasatan telah dibuka atas kesalahan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan (berkaitan fitnah). 

“Lain-lain laporan adalah berkaitan pemantauan yang dibuat semasa PRN Sabah dan tiada kes kesalahan yang direkodkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. 

Sementara itu, beliau menasihatkan semua calon dan penyokong parti yang hadir di tempat ceramah atau perhimpunan supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). 

“Antara SOP yang perlu dipatuhi ialah mengekalkan penjarakan sosial dan memakai pelitup muka dan penganjur perlu mencatatkan kehadiran dan suhu badan individu yang hadir serta menyediakan cecair pembasmi kuman.

“Selain itu calon atau penganjur hendaklah memohon permit ceramah dari Ketua Polis Daerah di kawasan tempat ceramah diadakan,” tambahnya. 

— BERNAMA