Pilih Bahasa

Produk kesihatan terlarang bernilai RM16,044 dirampas

Oleh Nasrawati Syarifuddin

Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau merampas produk kesihatan terlarang bernilai RM16,044 dipercayai ditinggalkan pemiliknya sejurus melihat kehadiran pihak penguatkuasa di Jeti CIQ Lama Tawau, pukul 1.20 tengah hari semalam. Gambar SNT / Ihsan PPM Tawau

TAWAU: Pasukan Polis Marin (PPM) merampas produk kesihatan terlarang bernilai RM16,044 dipercayai ditinggalkan pemiliknya sejurus melihat kehadiran pihak penguatkuasa di jeti CIQ Lama, di sini semalam.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, anggota Unit Risikan Marin (URM) yang menjalankan Operasi Landai pukul 1.20 tengah hari menemui satu longgokan kotak mencurigakan di kawasan jeti terbabit.

“Hasil pemeriksaan mendapati kotak terbabit mengandungi pelbagai jenis ubat-ubatan, jamu, minyak angin dan beberapa lagi produk kesihatan terlarang.

“Bagi mengenalpasti pemilik barangan terbabit, anggota URM menjalankan pemerhatian selama satu jam. Bagaimanapun, tidak ada individu yang tampil dan disyaki pemiliknya melarikan diri sejurus melihat kehadiran pihak penguatkuasa,”katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Pajeri berkata, produk kesihatan terbabit dipercayai dibawa dari negara Indonesia untuk pasaran tempatan.

“Semua Barangan tersebut dirampas dan dibawa ke Markas Operasi PPM Tawau untuk tindakan lanjut.

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM16,044 akan diserahkan kepada Jabatan Farmasi Daerah Tawau untuk tindakan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Akta Racun 1952.-SabahNewsToday