Pilih Bahasa

Produk kraf tekstil tempatan beri pulangan baik kepada pengusaha

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri akan membantu pengusaha tekstil tempatan di Sabah mempromosikan produk kraf mereka bagi membolehkan mereka menembusi pasaran global.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata industri tekstil mempunyai skop yang luas dan dilihat mampu memberikan pulangan baik kepada ekonomi masyarakat tempatan.

Mohd Shafie melihat cara-cara menyulam pua kumbu selepas merasmikan Festival Borneo Textile Craft di Suria Sabah pada Ahad. Gambar SNT/Ihsan JKM

“Menurut laporan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), industri tekstil menjadi sumber pendapatan negara kesebelas terbesar pada 2017 iaitu menyumbang kira-kira15.3 bilion atau 1.6 peratus bagi jumlah barangan perkilangan eksport Malaysia.

“Kini industri fesyen dilihat sangat optimis dan mempunyai skop yang luas kerana industri fesyen amat berkembang maju kepada ekonomi masyarakat khususnya pengusaha tekstil tempatan di Sabah,” katanya dalam ucapan perasmian Festival Kraf Tekstil Borneo di kompleks beli belah Suria Sabah di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Christina LIew; Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi dan Pengarah Kraftangan, Ibrahim Ismail.

Festival berkenaan diadakan pada 12 hingga 21 April ini dianjurkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya menerusi agensinya Kraftangan Malaysia.

Mohd Shafie berkata kerajaan negeri menyokong sepenuhnya usaha pihak kementerian serta Krat Malaysia mempromosikan dan memasarkan produk kraf tekstil dari Sabah mahupun Sarawak serta menggalakkan masyarakat Malaysia menggunakan produk kraf tekstil tradisi sebagai satu gaya hidup.

“Industri kraf sememangnya dekat di hati saya kerana produk kraf khususnya bidang kraf tekstil banyak terdapat di negeri ini.

“Antara tekstil tradisi yang terdapat di Sabah ialah tenunan dastar, mugah, sulaman pis, linagkit dan batik, ujarnya.

Beliau menambah kraf tekstil Sabah mewakili kepelbagaian etnik yang berbilang kaum dengan ragam hias serta rekaan unik dan mempunyai fungsi tersendiri sama ada dipakai bagi acara keramaian, perkahwinan dan sebagainya. – SabahNewsToday