Pilih Bahasa

Program ETA bantu pelajar tingkat penguasaan Bahasa Inggeris

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Pelaksanaan Pembantu Pengajaran Bahasa Inggeris (ETA) oleh Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di bawah Program Fulbright di Sabah dapat membantu meningkatkan minat dan penguasaan pelajar dalam bahasa tersebut.

Selain itu program ETA juga dilihat mampu menambah keyakinan para pelajar bertutur atau berkomunikasi secara terbuka menggunakan Bahasa Inggeris dengan rakan dan orang ramai.

Dr Yusof (tiga dari kanan) dan Kamala Shirin (kanan) menyaksikan rekacipta oleh pelajar SMK Sanzac mengenai projek inovasi yang mereka hasilkan. – Gambar SNT/Sitti Nor Azizah Talata

Menteri Pendidikan dan Inovasi, Datuk Dr Yusof Yacob berkata kementeriannya berharap jumlah pelajar yang dipilih mengikuti ETA di negeri ditambah pada program akan datang.

“Saya telah berjumpa Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik dan menyatakan keperluan kita untuk menambah jumlah pelajar yang mengikuti program ETA di Sabah.

“Kita perlu mendorong minat pelajar mempelajari Bahasa Inggeris dengan baik agar mereka yakin apabila bertutur kerana ramai yang masih segan berkomunikasi menggunakan bahasa itu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dr Yusof (kanan) dan Kamala Shirin (tiga dari kanan) terhibur mendengar penerangan oleh pelajar SMK Tambunan mengenai projek inovasi yang mereka hasilkan. – Gambar SNT/Sitti Nor Azizah Talata

Terdahulu beliau merasmikan Ulangtahun Ke-50 Pendaratan Apollo 11 ke Bulan anjuran Kedutaan AS di Perpustakaan Negeri Sabah Tanjung Aru di sini hari ini.

Hadir sama dalam program itu ialah Duta AS ke Malaysia, Kamala Shirin Lakhdhir; Pengarah Perpustakaan Negeri Sabah, Wong Vui Yin dan Presiden ConocoPhilips Malaysia, David Hendicott.

Dr Yusof berkata sebagai kerajaan baharu, kementeriannya perlu proaktif untuk memastikan pendidikan pembangunan di Sabah berjalan lancar terutama penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar di semua peringkat.

Kamala Shirin (kiri) menyampaikan cenderahati kepada Dr Yusof selepas merasmikan program sempena Ulangtahun Ke-50 Pendaratan Apollo 11 ke Bulan di Perpustakaan Negeri Sabah Tanjung Aru. – gambar SNT/Sitti Nor Azizah Talata

Menurut beliau lagi, kerajaan juga mengalu-alukan kerjasama kerajaan negeri dengan Kedutaan AS yang menganjurkan program itu sempena Hari Kemerdekaan AS pada tahun ini.

“Program ini menunjukkan kepada pelajar sesuatu yang mustahil boleh dibuat pada masa itu tidak ada sesiapa memikirkan untuk ke bulan tetapi mereka telah mendahului, malah banyak lagi penemuan baharu pada masa akan datang,” katanya.

Program ETA dimulakan di negara ini pada 2006 di Terengganu dan diperluaskan ke Sabah pada 2014 selepas kunjungan bekas Presiden AS, Barrack Obama ke Malaysia yang membenarkan pihak kedutaan negara itu menambah Sabah dan Sarawak ke dalam senarai ETA. – SabahNewsToday