Pilih Bahasa

Program hari kecemerlangan tingkat motivasi pelajar

Rafie (kanan) menyampaikan sijil kepada salah seorang murid SK Meramping Keningau. – Gambar SNT/Ihsan Armada Keningau

KENINGAU: Program hari kecemerlangan yang dilaksanakan di sekolah sepanjang tahun memberi pengiktirafan terbaik kepada pelajar dalam usaha memastikan hala tuju pendidikan anak-anak terus menjadi keutamaan semua pihak termasuk ibu bapa.

Ketua Armada Bersatu Bahagian Keningau, Rafie Robert berkata usaha murni sekolah dalam memartabatkan pendidikan dengan menganjurkan pelbagai kaedah dan pendekatan bagi memotivasikan pelajar sangat disanjung tinggi dan sewajarnya mendapat sokongan padu ibu bapa.

Justeru katanya usahasama antara warga sekolah, guru dan ibu bapa dalam menentukan hala tuju anak-anak amat bertepatan dengan matlamat falsafah pendidikan negara yang berusaha berterusan melahirkan insan seimbang  dari aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek.

“Saya yakin dan percaya sokongan padu semua pihak dalam memastika anak-anak kita cemerlang dalam pendidikan akan tercapai.

“Dengan cabaran pendidikan alaf baharu dunia tanpa sempadan dan hanya memerlukan ilmu pengetahuan untuk bersaing dan mendapat peluang dalam kerjaya masa depan,” katanya ketika berucap merasmikan Hari Kecemerlangan Sekolah Kebangsaan (SK) Apin-Apin Keningau.

Rafie (tengah) menyampaikan sumbangan meja kepada warga pendidik SK Apin Apin Keningau. – Gambar SNT/Ihsan Armada Keningau

Dalam majlis itu Rafie menyumbangkan sebanyak 10 buah meja guru dan 15 benih pokok kelapa untuk keceriaan sekolah dan kemudahan warga pendidik.

Terdahulu berucap pada majlis yang sama Di SK Merampong, Rafie menyeru pelajar agar bijak membahagi masa dalam menghadapi cabaran penggunaan teknologi masa kini dan sentiasa mengawal diri daripada melakukan salah laku displin yang boleh menjejaskan masa depan.

“Golongan pelajar adalah pelapis kepimpinan negara akan datang sudah tentu memerlukan jati diri dan ilmu pengetahuan yang tinggi untuk menjamin negara terus makmur dan rakyat sejahtera,” katanya.

Katanya warga pendidik telah berusaha setiap tahun untuk memberi bimbingan terbaik tetapi perlu diaplikasikan pelajar untuk kebaikan dan kemanjadian dalam semua bidang. – SabahNewsToday